Calon BN Galas akan diumum pada 24 Okt, kata Muhyiddin

SYDNEY, 8 Okt — Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan diumum pada 24 Oktober ini, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa nama yang difikir layak sudah diperoleh untuk ditimbang dan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pengumuman calon BN itu akan dibuat di Galas atau Gua Musang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata bagi tujuan tersebut segala maklumat mengenai latar belakang personaliti yang dianggap sesuai itu sudah diperolehi.

“Hal ini akan diputuskan Perdana Menteri selepas mendapat pandangan daripada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan pemimpin Umno Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar serta pemimpin Kelab Umno Australia dan New Zealand di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima, 45, dari PAS, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah calon BN itu mestilah mengenali pengundi, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, berhemah, berakhlak dan sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.

Katanya BN akan menghadapi apa saja isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk mengenai wang ihsan serta royalti minyak, dan semuanya akan dihadapi dengan mengambil pendekatan bersemuka, semua isu dijelaskan, tiada apa yang diselindungkan.

Beliau berkata sebahagian besar tugas membuat persiapan dalam menghadapi pilihan raya kecil itu diserahkan kepada Tengku Razaleigh kerana Anggota Dewan Undangan Negeri Gua Musang itu sangat berpengaruh dan berpengalaman.

Ditanya kemungkinan PAS meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli Muhyiddin berkata, BN tidak pernah merendahkan kewibawaan calon lawan dan menganggap setiap pilihan raya itu penting.

“Itu terserah kepada mereka, yang penting calon BN. Calon mereka, hak mereka. Kami tak kisah mereka boleh letak siapa calon tapi yang penting pengundi sedia menerima calon itu atau tidak,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.