CUEPACS Harap Kerajaan Timbang Pemberian Bonus

ALOR GAJAH, 7 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menaruh harapan tinggi agar kerajaan menimbang pemberian bonus dua bulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada tahun ini.

Presidennya Omar Osman berkata pertimbangan itu perlu kerana ia akan menggembirakan penjawat awam yang tidak menerima bonus pada tahun lepas.

"Kita mohon kerajaan beri bonus dua bulan gaji dan kita serahkan untuk dipertimbangkan mengikut kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Alor Gajah di sini.

Omar berkata permohonan rasmi kepada kerajaan telah dibuat beberapa bulan lalu dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi memohon bonus dua bulan gaji.

Namun setakat ini, tiada maklum balas yang diterima daripada kerajaan berhubung perkara itu.

Keputusan mengenai pemberian bonus biasanya diumumkan semasa Perdana Menteri membentang belanjawan setiap tahun, dan tahun ini ia dijadualkan pada 15 Oktober ini.

Sementara itu, Cuepacs meminta semua agensi di kementerian yang mempunyai pekerja kontrak supaya tidak menamatkan perkhidmatan mereka, sebaliknya menyambung semula kontrak itu berdasarkan rasa simpati dan perikemanusiaan.

Omar berkata tindakan itu akan membantu pekerja meneruskan kehidupan di samping meringankan beban mereka, terutama yang sudah lama berkhidmat.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana sudah ada agensi di kementerian tertentu telah menamatkan kontrak penjawat awam mereka dengan alasan bajet tidak mencukupi.

"Cuepacs berharap perkara ini akan diambil kira dalam bajet 2011 yang akan dibentangkan tidak lama lagi," katanya.

No comments

Powered by Blogger.