DUN Galas: Najib, Ku Li bertemu tetapi tiada kata putus soal calon

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah hari ini untuk secara rasmi memaklumkan Ahli Parlimen Gua Musang mengenai pelantikannya sebagai pengarah jentera Barisan Nasiona (BN) di Galas tetapi tiada keputusan dibuat mengenai pemilihan calon.

“Berkaitan dengan soal calon, kami akan memaklumkan pada masa yang sesuai nanti, bukannya sekarang,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas pertemuan tersebut di bangunan Parlimen pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menggambarkan Tengku Razaleigh sebagai calon terbaik bagi Galas, salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Tengku Razaleigh telah menyatakan kesediaan untuk mengetuai jentera BN dan akan memobilisasikan jentera kami untuk memastikan kemenangan BN,” kata Najib.

“Saya juga memberi jaminan bahawa jentera nasional akan memberikan sokongan sepenuhnya,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Najib mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu untuk membincangkan calon bagi pilihan raya kecil Galas.

Kelmarin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pertemuan kedua-dua mereka akan turut membincangkan mengenai strategi yang akan digunakan bagi memenangi kerusi tersebut setelah Tengku Razaleigh menyatakan persetujuannya untuk menjadi pengarah pilihan raya itu.

Tengku Razaleigh yang pulang ke tanah air kelmarin dari London mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi DUN Galas.

Bagaimanapun beliau berkata, cadangan untuk menamakan beliau sebagai calon perlu dibincangkan dengan Najib yang juga Pengerusi BN terlebih dahulu.

Calon BN akan diumum pada 24 Oktober ini iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima dari PAS dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Muhyiddin sebelum ini pernah berkata apa yang penting ialah calon BN itu mestilah mengenali pengundi, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, berhemah, berakhlak dan sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.

No comments

Powered by Blogger.