Galas: PAS belum putus calon

Harakahdaily

GOMBAK, 4 Okt: PAS masih dalam proses membuat keputusan memilih calon mereka untuk bertanding mempertahankan kerusi mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas.

Sehingga petang semalam, mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat belum memutuskan siapa calaon yang bakal ditonjolkan kali ini.

Perkara itu disahkan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini semalam.

"...kami belum dapat menetapkan calon yang akan bertanding buat masa ini," katanya selepas mesyuarat diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia di sini.

PAS sebelum ini memaklumkan, mereka sudah mempunyai senarai pendek calon dan dalam proses membuat pilihan untuk diteliti oleh Majlis Syura Ulama' PAS sebelum diputuskan sebagai calon.

Tuan Guru Abdul Hadi turut memaklumkan, mesyuarat tersebut juga telah bersetuju melantik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ab. Halim Ab. Rahman sebagai Ketua Pilihan Raya PAS bagi PRK Galas.

Selain itu, mesyuarat tersebut juga ujarnya turut menetapkan komitmen bertanding di DUN Galas bagi mengekalkan kerusi yang disandang Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Mengulas cadangan Umno mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Dun Galas, beliau menganggap ianya satu tindakan yang tidak wajar.

Beliau juga sependapat dengan pandangan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa cadangan tersebut adalah cubaan menghina Ahli Parlimen Gua Musang tersebut.

Ku Li menurutnya adalah tokoh besar dalam Umno yang selayaknya menjadi Perdana Menteri, bukan pembangkang di negeri Kelantan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika mengulas perkara sama berkata, beliau yakin Tengku Razaleigh tidak akan bertanding pada PRK Galas nanti.

Menurutnya, biarpun Ku Li seorang yang berpengaruh, namun beliau yakin pencalonan oleh Umno itu akan ditolak oleh Ku Li.

Dalam pada itu, Ku Li melalui laman Twitter memaklumkan beliau hanya akan memberi jawapan berhubung PRK Galas selepas pulang ke tanah air 9 Oktober nanti.

No comments

Powered by Blogger.