Galas: Umno mahu hina Tengku Razaleigh?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan cadangan Tan Sri Muhyidin Yassin agar Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon BN di Galas adalah satu penghinaan kepada Ketua Umno Gua Musang itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, tindakan Umno itu juga adalah cubaan menghilangkan pengaruh Tengku Razaleigh yang dahulunya satu nama besar dalam sejarah Umno.

"Cadangan ini satu penghinaan kepada Ku Li selepas jadi menteri kini di minta duduk dalm Dun jadi Adun pembangkang pula," katanya.

Bagi beliau, nilai Razaleigh adalah jawatan Perdana Menteri dan tidak layak untuk jawatan yang lebih rendah daripada itu.

Oleh itu, apabila Muhyidin mencadangkan beliau menjadi calon, ia bukan untuk kepentingan Ku Li tetapi menjaga kepentingan politik Umno semata-mata.

"Muhyidin ingat Ku Li boleh menyelamatkan maruah Umno tetapi dalam masa yang sama dia tidak sedar ini satu penghinaan kepada Ku Li," kata Hatta lagi.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Dun Galas, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dicadangkan menjadi calon pula.

Ini kerana, kata beliau, Muhyidin yakin hanya Razaleigh yang boleh memenangkan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Sehingga kini, Razaleigh yang masih berada di luar negara belum memberi sebarang respons sama ada menerima cadangan berkenaan atau sebaliknya.

Bagi PAS pula, mereka kini sudah mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan dan senarai pendek calon akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

No comments

Powered by Blogger.