Ketua AMK Pahang Perjelaskan Sebab Shamsul Pertahan Jawatan

shamsur Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Shamsul Iskandar Md Akin mengambil keputusan mempertahankan jawatan Ketua AMK setelah beliau mempertimbangkan beberapa faktor, kata seorang penyokong kuatnya.

"Pada mulanya Shamsul mahu membuat `penyerahan kuasa’ AMK kepada Rafizi Ramli tetapi pencalonannya (Rafizi) tidak sebanyak yang diduga.

"Manakala calon AMK lain dikira tidak mempunyai daya kepimpinan sebaik Shamsul," kata Ketua AMK Pahang, Rizal Jamin.

Rizal berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan drastik Shamsul bertanding kerusi Ketua AMK berbanding naib presiden PKR sebagaimana yang diumumkan 16 September lalu.

Pada tarikh tersebut, Shamsul dalam satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru mengumumkan beliau menawarkan diri bertanding naib presiden bagi mewakili suara orang muda dalam kepimpinan utama PKR.

Rizal berkata, Shamsul mendapat pencalonan yang banyak dari cabang AMK di seluruh negara.

"Sebagai contoh 15 dari 21 cabang AMK telah mencalonkan Shamsul untuk jawatan ketua AMK. Secara keseluruhan banyak cabang AMK yang mahu Shamsul mengekalkan jawatan itu.

"Dan Shamsul akan membuat peralihan kuasa dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Menurut Rizal lagi, tenaga Shamsul sebagai ketua AMK sangat diperlukan kerana PKR akan menghadapi dua pilihanray besar iaitu pilihanraya negeri Sarawak dan pilihanraya umum.

Pilihanraya Sarawak dijangka diadakan pada awal tahun depan manakala pilihanraya umum pada 2012.

No comments

Powered by Blogger.