Khalid Samad: Persoalan Gereja, Kuil dan Kilang Arak

Ada yang mempertikaikan lawatan saya ke Gereja, Kuil dan kilang arak. Secara mudah saya menjawab, “itulah hakikat masyarakat majmuk yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya. Kalau pemerintahan Islam tidak mahu berhadapan dengan wujudnya perkara-perkara yang sebegini, maka pemerintahan Islam akan terhad kepada kawasan Haramain sahaja, (Mekah dan Madina) kerana di sana tiada orang bukan Islam”.

Kefahaman sempit terhadap Islam yang sebeginilah sebabnya mengapa sejak dari awal lagi, UMNO beranggapan bahawa Islam tidak boleh digunapakai sebagai asas pemerintahan di Malaysia. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang berbilang budaya dan berbilang agama, maka pemerintahan yang berasaskan Islam, mengikut fahaman UMNO, akan tergamam dan serba salah untuk mentadbirnya. Dalam usaha untuk mencorakkan masyarakat mengikut acuan Islam, mengikut anggapan UMNO lagi, maka hak bukan Islam akan hampir pasti dinafikan. Gereja akan diroboh, kuil akan dibakar. Daging khinzir akan diharamkan jualannya di tempat-tempat awam sepertimana juga minuman arak dan sebagainya. Segala makanan dan minuman yang haram bagi ummat Islam, tetapi dibenarkan oleh agama lain untuk ummatnya, akan turut diharamkan kerana Islam adalah asas pemerintahan. Hak penganut agama lain untuk mengikut ajaran agama mereka yang menghalalkan apa yang diharamkan Islam tidak akan diambil kira sama sekali kerana sebuah pemerintahan Islam menurut kaca mata mereka akan hanya mengambil kira ajaran Islam semata-mata. Maka, apa yang diharamkan Islam akan diharamkan untuk semua.

Malangnya ada juga ahli PAS yang beranggapan begitu. Tanpa mereka sedari, mereka mengiyakan tanggapan songsang UMNO, walaupun mereka dalam PAS. Tetapi AlhamduliLlah, golongan ini tidak ramai.

Seseorang yang memperjuangkan Islam semestinya yakin bahawa pemerintahan yang berasaskan Islam relevan untuk semua jenis masyarakat dan semua negara. Ianya terbaik dan teradil untuk semua, termasuk untuk mereka yang bukan Islam. Inilah sebabnya mengapa PAS terus memperjuangkannya untuk negara Malaysia yang diketahui umum merupakan sebuah masyarakat majmuk. Sejarah Islam yang panjang telah menyaksikan pemerintahan yang berasaskan Islam tertegak di dalam pelbagai jenis masyarakat, termasuklah masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama. Pemerintahan yang berasaskan Islam ini telah tebukti berjaya memerintah masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya tanpa menafikan hak orang bukan Islam di dalam kesemua aspek. Ini termasuk dari aspek politiknya, di mana orang bukan Islam pernah diamanahkan jawatan menteri ataupun wazir dalam pemerintahan Islam. Namun dasar dan matlamat Islam digunapakai dalam mentadbir kementeriannya walaupun oleh Menteri yang bukan beragama Islam.

Inilah yang perlu difahami kerana dasar dan matlamat Islam mengambil kira wujudnya masyarakat bukan Islam dan hak mereka untuk mencorakkan kehidupan mereka mengikut ajaran agama atau pegangan hidup mereka. Jaminan kebebasan ini mengatasi walaupun apa yang diamalkan oleh negara Barat yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara, seperti Perancis, yang ingin memaksa fahaman Sekular-ekstrim mereka ke atas ummat Islam sehingga mengharamkan Muslimat bertudung di tempat awam; dan baru-baru ini, mereka juga telah mengharamkan kewujudan kedai yang menjual barang halal semata-mata. Mungkin selepas ini mereka ingin pula memaksa pekedai Islam menjual daging khinzir dan arak!

Namun, hakikat yang seperti ini tidak akan difahami oleh sebuah parti seperti UMNO. Pada dasarnya, Islam hanya merupakan satu alat untuk digunapakai untuk mengekalkan kedududkan mereka supaya terus berkuasa. Ianya amat berkesan untuk menaikkan semangat dan kemarahan orang Islam supaya mereka terus menyokong UMNO dalam keadaan takut akan ‘kemaraan orang bukan Islam’. Dan inilah apa yang sedang dilakukan UMNO dewasa ini. Mereka tidak gusar dengan imej keterlaluan dan pelampau yang ditonjolkan oleh mereka atas nama ‘Islam’ walaupun akan mencemarkan dan terpalitnya imej Islam itu sendiri dengan sikap keterlaluan mereka. Yang melucukan, dalam keghairahan mereka menaikkan semangat orang Islam-Melayu, mereka sering lupa tindakan mereka bagaikan meludah ke langit. Isu duit judi yang dihebohkan di Pulau Pinang merupakan salah satu dari banyak contoh-contoh tindakan membodohkan diri mereka dan pengikut mereka sendiri.

Sedangkan umum mengetahui bahawa hanya satu negeri sahaja, setakat ini, yang telah secara terancang, mengasingkan pendapatan kerajaan dari jenis perniagaan haram dan pendapatan yang dari jenis yang halal. Ianya kerajaan Kelantan dan akan diikuti insyaAllah, selepas ini oleh kerajaan negeri-negeri PR yang lain. Malahan, mengikut pegawai kerajaan Negeri Pulau Pinang, pendapatan sebanyak 2 Juta dari litar lumba kuda di Pulau Pinang telahpun diasingkan dari wang hasil yang lain untuk bayaran kepada orang bukan Islam semata-mata. Perkara sebegini tidak diamal atau diusahakan oleh kerajaan Pusat BN ataupun mana-mana kerajaan Negeri BN. Termasuklah Negeri Pahang di mana terletaknya Casino yang terbesar di negara kita ini iaitu Genting.

Hakikat wujudnya kaedah Islam yang mengharuskan pemisahan wang dari sumber yang tidak halal bagi kegunaan sebuah kerajaan yang berteraskan Islam adalah juga bukti akan kesediaan Islam memerintah sebuah Negara majmuk. Ianya juga merupakan bukti bahawa perkara yang haram di sisi Islam tetapi dibenarkan oleh agama yang lain akan terus dibenarkan sebuah pemerintahan Islam untuk rakyat bukan Islamnya dan hasil ataupun cukai boleh diambil darinya, diasingkan dan digunapakai untuk tujuan-tujuan tertentu. Ini merupakan bukti akan pemerintahan Islam yang dinamik dan orang bukan Islam tidak perlu khuatir tentang kebebasan mereka dalam menghayati ajaran agama serta budaya mereka sendiri. Oleh yang demikian, orang Islam harus cuba memahami kaedah Islam dalam soal sebegini agar tidak diperdayakan oleh tipu daya UMNO.

Namun, kaedah perlaksanaan terperincinya akan berbeza mengikut keadaan dan suasana masyarakat. Di sebuah negeri seperti Kelantan, di mana orang Islam adalah lebih dari 95%, perlaksanaannya agak berbeza berbanding Selangor di mana ummat islam hanya 51%. Namun prinsip asasnya tetap sama. Prinsip utamanya adalah mengiktiraf dan menghormati hak semua kaum dalam membentuk sebuah pentadbiran berasaskan Islam yang mengutamakan keadilan. Inilah yang dimaksudkan dengan Siyaasah Syariyyah secara umumnya.

Peristiwa yang melibatkan seorang penuntut dari Timur Tengah ingin saya kemukakan sebagai satu contoh. Beliau baru tiba dari negaranya beberapa bulan sebelum Ramadhan. Semasa Ramadhan beliau naik berang melihat kedai-kedai makan terus buka pada waktu siang hari, termasuklah kedai-kedai makanan orang bukan Islam. Dengan tegas beliau mengatakan, “di negara saya, semua kedai makan tutup pada waktu siang kerana menghormati Ramadhan!”

Ya lah, negara kamu 95% orang Islam dan secara kebiasaan itulah yang dilakukan sejak beberapa abad sebelum ini. Tetapi janganlah menganggap ianya suatu yang dituntut syara’ kerana syara’ tidak menetapkan sesuatu hukum kecuali orang beriman tidak dibenarkan makan dan minum semasa berpuasa. Kalau diusahakan di sini, maka akan timbul kekeliruan sehingga akhirnya kita akan dilihat bagaikan ingin memaksa orang bukan Islam berpuasa bersama.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan saya, dengan berlakunya lawatan-lawatan yang saya sebutkan awal-awal tadi, ummat Islam dan bukan Islam, akan memahami bahawa pemerintahan yang berasaskan Islam akan tetap membenarkan orang bukan Islam mengamalkan agama dan juga cara hidup mereka tanpa diganggu. Ianya bukan atas sebab kompromi atau kepentingan politik. Ianya sememangnya sebahagian dari prinsip pemerintahan Islam. Hanya ianya akan diuruskan dengan cara yang mengambil kira prinsip-prinsip islam, seperti pengasingan wang hasil dari sumber haram dan sebagainya.

Sekiranya persoalan ini difahami, maka akan hilanglah kegusaran dan kekhuatiran orang bukan Islam terhadap persoalan pemerintahan yang berasaskan Islam. Dalam masa yang sama juga golongan jahil dari kalangan orang Islam sendiri yang membuat tuntutan-tuntutan yang sebenarnya tidak pun dituntut secara dasarnya dapat ditangani, dengan syariat Islam itu sendiri. Ucapan bersemangat mereka yang bertujuan untuk menaikkan semangat, tetapi kosong dari sudut nas dan dalil, akan tenggelam begitu sahaja. Kerana rakyat dah faham akan betapa ‘keadilan untuk semua’ adalah tunjang pemerintahan Islam.

Dan pada masa itu negara akan ditadbir secara aman dan damai, berasaskan prinsip-prinsip pemerintahan Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.