MP Kula timbang semula ugutan lepaskan jawatan DAP Perak

IPOH, 2 Okt — Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran sedang mempertimbangkan semula ugutannya mahu melepaskan jawatan dalam DAP Perak sambil memberitahu penyokongnya bahawa beliau akan ke luar negara selama seminggu untuk meneliti permintaan mereka.

Timbalan pengerusi DAP Perak itu juga membatalkan sidang media — yang dijadualkan pagi tadi - untuk mendedahkan perkara-perkara yang membawa kepada keputusan mahu meninggalkan kepimpinan negeri parti.

“Maaf untuk memaklumkan bahawa sidang media hari ini dibatalkan. Sejak malam tadi, saya menerima banyak panggilan, SMS, mesej daripada pemimpin DAP,” kata peguam ini dalam mesej Twitter pagi ini.

Difahamkan Penasihat DAP Lim Kit Siang merupakan antara pemimpin parti yang telah bercakap dengan Kulasegaran.

Lim enggan bercakap dengan pemberita pagi ini.

“Ahli-ahli dan penyokong meminta saya mempertimbangkan semula pendirian saya ini. Saya akan berada (di luar negara) selama seminggu dan akan saya memaklumkan jika ada keperluan,” tambah Kulasegaran.

Pemimpin veteran ini, yang dilihat sebagai musuh’ ketat kepada dua sepupu dalam DAP Perak - pengerusi negeri Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausaha Nga Kor Ming – kelihatan keluar daripada mesyuarat khas malam tadi susulan pertempuran mulut dengan kedua-dua mereka.

Mengenai pendiriannya ekoran mesyuarat yang berlangsung di Kampung Simee, bukannya di Wisma DAP di sini, Kulasegaran yang juga naib pengerusi DAP pusat menulis dalam Twitternya bahawa, “baru selesai mesyuarat kepimpinan di Ipoh. Hari yang menyedihkan, saya akan mengumumkan apa kurangnya dalam kepimpinan Perak esok dan saya perlu meninggalkan dalam keadaan yang baik.”

Kulasegaran tidak memberi butiran lanjut tetapi apabila dihubungi The Malaysian Insider selepas tengah malam tadi mengesahkan beliau tidak akan meninggalkan parti sama sekali.

“Meninggalkan DAP, tidak. Tetapi saya akan mendedahkan masalah-masalah dalaman yang wujud. Saya diperkecilkan oleh Ngeh dan saya tidak boleh menerima keadaan itu,” kata beliau dalam kenyataan SMS.

Menurut seorang ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat malam tadi, pertemuan itu dipanggil sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan kedua-dua kumpulan Kulasegaran dan “Ngeh-Nga” yang bertelagah.

“Tetapi perbincangan perpaduan yang didakwa hanya cakap-cakap saja. Mereka (Ngeh-Nga) tidak pernah berpegang pada apa yang mereka cakap, janji-janji mereka,” katanya lagi.

Pemimpin itu menambah, perbincangan perpaduan tersebut yang digerakkan oleh pemimpin kedua-dua kumpulan bertujuan memastikan konvensyen dan pemilihan yang dijadual bulan depan berlangsung dengan lancar.

“Ada satu bentuk perjanjian agar kedua-dua pihak tidak cuba untuk menghabiskan satu sama lain... tetapi mereka

(Ngeh-Nga) terus-menerus memburuk-burukkan kami (puak Kulasegaran),” kata pemimpin itu.

Masalah antara Kulasegaran dan kedua-dua sepupu berkenaan bukan sesuatu yang baru, sebaliknya berterusan lama.

Selepas kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak jatuh pada awal tahun lalu, pertelingkahan kedua-dua puak semakin buruk.

No comments

Powered by Blogger.