Mukhriz hina pelabur tidak datang ke Malaysia

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menghina para pelabur apabila mendakwa mereka tidak datang ke negara ini akibat hasutan pembangkang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata, Mukhriz memalukan Malaysia kerana beliau boleh mengakibatkan orang luar menghina Malaysia kerana mempunyai menteri yang tak cerdik.

"Jangan hina pelabur. Mereka tidak bodoh seperti orang menjawab tidak pakai akal.

"Bila pelabur hendak buat keputusan sama ada hendak melabur atau tidak ke negara ini, mereka tidak tanya Presiden PAS. Mereka tanya badan-badan yang diiktiraf seperti Economic Intelligence Unit atau Moody's," katanya mengulas dakwaan Mukhriz di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) mengenai kejatuhan pelaburan asing sehingga 81 peratus ke negara ini, Mukhriz mendakwa kejatuhan berlaku akibat tindakan pembangkang memburuk-burukkan negara ini di luar negara.

"Dalam keadaan sebahagian besar pelabur sudah tak ada selera untuk melabur di negara ini, tiba-tiba muncul pula seorang yang bertaraf timbalan negeri di negara ini yang nampaknya cuba membayangkan para pelabur bodoh sangat untuk membuat keputusan tentang pelaburan mereka,” kata Mohamad.

Katanya, Mukhriz juga kelihatan menyifatkan rakyat terlalu bodoh untuk menelan jawapan seperti itu.

"Saya rasa akhirnya Mukhriz sendiri yang akan dianggap berada dalam tahap kebodohan yang teramat bodoh dengan jawapan itu. Jangankan ahli-ahli Dewan Rakyat di mana beliau memberikan jawapan itu, orang-orang Kampung Kandis di Jerlun pun mentertawakan beliau," katanya.

Mengenai tuduhan Mukhriz bahawa pembangkang tidak patriotik, Mohamad berkata, pihak yang tidak patriotik ialah kaki rasuah yang dilihat oleh rakyat berduyun-duyun di dalam Umno sehingga ayah Mukhriz sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa Umno sudah jadi parti perasuah.

"Bila rasuah, untuk mengelakkan hukuman, kuasa disalahgunakan, kebebasan kehakiman dinodai dan pelbagai kejahatan lagi dilakukan.

"Kaki-kaki rasuah itulah, termasuk di dalam Umno, yang tidak patriotik dan menyebabkan pelabur tidak mahu datang ke negara ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.