Pentingnya orang muda kenali sejarah — Tengku Arief

12 OKT — Dengan angka yang meningkat kepada lebih kurang 7 juta golongan muda yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak maka sudah tentu faktor kemenangan parti-parti yang bertanding sangat bergantung kepada golongan ini.

Tetapi sesetengah golongan ini sehingga kini masih tidak mengerti atau memahami tentang betapa pentingnya kuasa politik dalam kehidupan mereka. Ini kerana golongan ini mempunyai pandangan yang tersendiri berhubung dengan erti politik.

Bagi mereka umumnya, politik itu sesuatu yang busuk dan tidak harus bagi golongan seperti mereka terlibat sama kerana sudah merasa selesa dengan keadaan semasa hinggakan mereka lupa untuk menoleh ke belakang tentang asas-asas yang telah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu hingga ke hari ini.

Golongan ini terlalu dimomokkan dengan cerita-cerita yang tidak pernah membawa pengertian yang mendalam kepada mereka kerana kegagalan mereka untuk mengenali sejarah yang begitu penting dalam asas sesebuah negara.

Apa lagi dengan teknologi canggih yang ada dari semasa ke semasa telah merubah persepsi golongan ini terhadap perjuangan pejuang-pejuang kebangsaan dan menganggap seolah-olah para pejuang ini tidak pernah wujud serta penting dalam kehidupan hari kini, sedangkan hakikatnya terlalu penting pada mereka demi untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

Kejahilan golongan ini terhadap memahami sejarah telah membawa mereka kepada hidup tanpa asas sempadan yang mengakibatkan kekeliruan yang amat besar. Apatah lagi kepada generasi yang dulunya daripada bangsa yang datang untuk mencari ekonomi di negara ini. Hasilnya kita dapati generasi muda ini tidak lagi menghormati prinsip kerukunan dan Perlembagaan yang telah diguna pakai semenjak penubuhan sebuah negara yang merdeka.

Bahkan mereka melaung-laungkan api kebencian kepada bangsa tuan tanah ini yang cuba mempertahankan hak-hak mereka agar tidak terlepas pandang mahupun tertanam sebegitu sahaja setelah pengorbanan yang memeritkan dilalui oleh tuan tanah ini demi mendapatkan sebuah negara yang merdeka.

Generasi Melayu juga banyak yang tidak memahami sejarah apatah lagi untuk mengenali para pejuang bangsa kerana kealpaan mereka untuk mengejar kehidupan yang semakin hari semakin pantas hasil daripada pertumbuhan ekonomi sejagat yang tidak lagi mementingkan sebuah kehidupan yang berlandaskan kepada faktor-faktor terhormat.

Generasi ini dengan begitu mudah melupakan asal usul dan sebahagian mereka sanggup untuk bersekongkol bersama-sama dengan mereka yang boleh dianggap sebagai pengkhianat negara. Mereka ‘termakan’ segala janji palsu yang sehingga kini masih lagi gagal dikotakan bahkan semakin buruk terjadi apabila perjuangan mereka yang boleh dianggap pengkhianat ini terbantut di tengah-tengah jalan sehinggakan menghadirkan kekacauan dalam negara.

Sesuatu yang pantas perlu dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya daripada pihak yang berwajib untuk menjadikan generasi muda agar lebih memahami betapa pentingnya mengenali sejarah tanah air. Ini kerana mereka yang akan mewariskan sejarah ini kepada generasi baru tanpa ada sedikit pun kehilangan dari segi fakta dan peristiwa.

Hakikat pahit kadang kala harus dirungkaikan agar lipatan sejarah ini akan terus kekal dan dihayati oleh generasi muda agar mereka tidak hanyut dan lupa tentang sejarah. — Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.