Perkasa kesal berterusan dijadikan ‘punching bag’

KUALA LANGAT, 10 Okt — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang berterusan menjadikan badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai sasaran atau “punching bag” hanya kerana ia mempertahankan hak kaum Melayu, kata presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata Perkasa bukan pertubuhan yang bersifat perkauman atau kumpulan pelampau seperti yang digelar sesetengah pihak, kerana ia turut menolak perkauman.

“Pada kami, kami hanya mempertahankan perkara 143 dalam Perlembagaan Persekutuan dan selain itu, kami juga menyentuh tentang isu ekonomi kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Perkasa Daerah Kuala Langat di sini hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pemuda MCA semalam supaya kepimpinan Barisan Nasional (BN) memisahkan diri daripada pelampau atau kumpulan pelampau di negara ini.

Ketuanya, Datuk Wee Ka Siong berkata langkah itu penting dalam usaha BN melobi sokongan daripada seluruh rakyat, selain menunaikan tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan semua pihak agar tiada siapa yang tersisih daripada proses pembangunan.

Mengenai kenyataan Wee bahawa pemuda MCA menghormati kontrak sosial dan

Perlembagaan Persekutuan, Ibrahim meminta Wee memberikan tafsiran serta

pemahamannya berhubung perkara itu.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan tindakan Wee yang hanya mengkritik perjuangan Perkasa tetapi tidak mengkritik tindakan pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy yang mempertikai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 4 Okt lepas.

“Beliau (Wee) juga tidak desakpun kerajaan tubuh Suruhanjaya Diraja mengenai isu membabitkan konsesi balak yang berlaku semasa pemerintahan pakatan pembangkang di Perak.

“Kami turut digelar primitif tetapi kami terima. Kami bangga digelar primitif kerana primitif ini asli. Walaupun kami dianggap primitif, itu kami tidak kisah, kerana kami hanya pertahankan hak kami,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Perkasa mempunyai perancangan untuk meletakkan calon pada pilihan raya umum akan datang berikutan peningkatan sokongan terhadap NGO tersebut, Ibrahim menegaskan Perkasa bukan parti politik.

“Kami tidak langsung berfikir ke arah itu (untuk bertanding dalam pilihan raya umum), belum lagi. Fokus kami hanya untuk menyatupadukan orang Melayu,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.