Pertimbangkanlah bonus buat penjawat awam

Tiada bonus untuk kakitangan kerajaan dalam Bajet 2011. Ini bermakna lebih 1.2juta kakitangan kerajaan seluruh Negara terpaksa sekali lagi mengikat perut berpuas-hati dengan apa yang ada walaupun berhadapan dengan kos hidup yang semakin mencekik kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

Apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga PM adalah “bantuan Khas Kewangan” sebanyak RM500.00 tiap-tiap seorang.

Sudah pastilah wang RM500.00 itu membantu tetapi hakikatnya ia tidak memadai. Sebagaimana disebut oleh sahabat saya Tuan Syed Shahir, Presiden MTUC:

Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya bagi penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang.

Setiap hujung tahun, maka berlipat-kali gandalah perbelanjaan rakyat Malaysia termasuklah penjawat awam.Anak mahu ke tadika, ke sekolah ke IPT, berbagai persediaan dan persiapan perlu diadakan lantas mengundang perbelanjaan yang besar.
Buku sekolah, peralatan sekolah, pakaian seragam, belanja pengangkutan, belanja tuisyen, tiada yang semakin turun harganya semuanya naik dan mahal belaka. Suka tak suka mereka tiada pilihan, inilah masalah besar pada penghujung tahun bagi rakyat Malaysia.

Bagi penjawat awam kemanakah mahu mereka kikis dan korek duit belanja ini? Bayangkan yang sudah terikat dengan berbagai pinjaman, perumahan, kereta dan lain-lain. Kerana itu benar walaupun RM3.1 bilion iaitu kos membayar bonus sebulan gaji kepada penjawat awam itu besar angkanya namun hakikatnya ia suatu keperluan dan banyak membantu meringankan bebenan yang ditanggung penjawat awam.

Bukankah kerajaan juga yang berkata keadaa ekonomi Negara bagi tahun 2010 menunjukkan petanda semakin pulih? Insyallah ia pasti terus begitu membawa kepada 2011, mengapa tidak kita potong atau kurangkan perbelanjaan lain yang tidak terus membantu sebagaimana bonus buat penjawat awam ini?

Saya khuatir bebanan yang timpa menimpa ini jika tidak ditangani hanya akan mengundang kaedah yang salah dan berbahaya. Lantaran terlalu tertekan ramai yang akan mencari jalan keluar, jika ia halal dan selamat tidak mengapa, tetapi yang berbaki cumalah yang sebaliknya. Ah long akan didekati dan lebih parah lagi ada yang akan terdorong untuk rasuah dan salah-guna kuasa!

Ahli-ahli parlimen kita perlu bersuara dalam hal ini. Ianya bukan untuk bermewah atau bersuka-suka, ia sesuatu yang kritikal yang perlu bagi mengatasi beban yang tertanggung oleh golongan ini, rayulah agar bonus itu dipertimbangkan jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya suatu angka yang dapat banyak membantu.

http://n32.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.