PKR Kelana Jaya: Syed Shahir, Nik Nazmi menang tipis

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad menang tipis kerusi timbalan ketua cabang Kelana Jaya yang diadakan hari ini.

Keputusan tidak rasmi setakat 11 malam menunjukkan Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia memperoleh 414 undi manakala pencabarnya Dr Vignesh memperoleh 402 undi.

Undi rosak bagi jawatan itu dikatakan sekitar 69.

Syed Shahir Mohamud pula mempertahankan kerusinya dengan perbezaan enam undi.

Cabang ini menutup proses pemilihan pukul 4 petang tadi manakala mesyuarat agung sebelah malam.

Beliau juga timbalan pengerusi PKR Selangor dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Nik Nazmi bertanding jawatan timbalan ketua selepas Yusop Mat Amin, penyandang kerusi itu tidak mempertahankan kedudukan tersebut.

Sebelum ini beliau ahli jawatankuasa cabang Kelana Jaya dan naib ketua Angkatan Muda Keadilan cabang itu.

Beliau bergandingan dengan Syed Shahir dan Keshiminder Singh yang masing-masing bertanding mempertahankan jawatan ketua dan naib ketua dalam pemilihan kali ini.

Dalam mesej Twitter sekitar 8.30 malam tadi, Nik Nazmi berkata: “Tak kisah keputusan harap semua termasuk yang berkemeja-T ‘Trojan Horse’ menghormati mesyuarat agunf cabang Kelana Jaya. Penat reformis bina cabang ini.”

Kelana Jaya salah satu daripada 34 cabang yang mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan hari ini dan esok.

Esok cabang Kuala Selangor, Gombak dan Ampang yang masing-masing ditandingi Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin Ali dan Zuraid Kamaruddin akan mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata beliau gembira kerana mesyuarat dan pemilihan berjalan dengan lancar tanpa kekecohan hari ini.

“Saya berharap suasana seperti ini juga akan disaksikan esok,” kata beliau dalam mesej menerusi Twitter hari ini.

Perjalanan mesyuarat agung cabang dan pemilihan menjadi perhatian hari ini selepas berhadapan dengan kekecohan membabitkan tujuh cabang hujung minggu lalu.

No comments

Powered by Blogger.