PRK Galas: Nama calon Akan Diumum Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 18 Okt – Calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas telah diputuskan dan akan diumum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, bakal calon PAS dipersetujui
sebulat suara Dewan Harian PAS yang bermesyuarat mewakili Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

Mustafa yang enggan mendedahkan identiti calon berkenaan bagaimanapun berkata, beliau terdiri daripada anak tempatan, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan merupakan pemimpin parti itu di Gua Musang.

“Esok nama itu akan diserahkan kepada Nik Aziz, yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk diumumkan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, nama berkenaan dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan, termasuk seorang pemimpin Orang Asli.

Katanya tarikh sebenar pengumuman bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi namun difahamkan, parti itu akan memperkenalkan calonnya 20 Oktober ini.

PRK DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Ketika ditanya peluang PAS berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata, parti itu masih berada di belakang Barisan Nasional (BN) kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno dan beberapa faktor lain.

Mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Mustafa berkata, tidak dinafikan tokoh veteran itu mempunyai pengaruh tersendiri di Gua Musang.

“Bagaimanapun itu tidak semestinya diterjemah sebagai undi,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.