Sukan Komanwel: Malaysia Hanya Pungut Satu Emas Pada Hari Keenam

NEW DELHI, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia hanya memungut satu emas pada hari keenam kejohanan Sukan Komanwel 2010 di sini Sabtu.

Pasangan penembak Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohd Taibi memberi emas kepada negara menerusi acara 10m air rifle (berpasangan).

Malaysia hampa apabila atlet pejalan kaki Lo Choon Siang dan Lim Teoh Boon, masing-masing menduduki tempat ke-14 dan ke-15 dalam acara 20km.

Acara ini dimenangi pasangan suami isteri dari Austarlia, Jared Tallent and Claire Tallent di mana Jared menang emas dalam acara lelaki sementara Claire memungut perak bagi acara wanita.

Sebanyak 43 pingat emas menjadi rebutan pada Sabtu.

Atlet lompat tinggi negara Lo Choon Siang melompat setinggi 2.23 meter dan mendudukk tempat kelima, sekaligus gagal memecah rekod kebangsaan yang dipegangnya dengan ketinggian 2.27m.

Sementara kecederaan membuatkan M. Vadivellan terpaksa menarik diri dalam acara larian 1,500m, secara tidak langsung menonjolkan kelemahan atlet dalam acara olahraga di kejohanan kali ini.

Kesemua tujuh petinju negara turut pulang dengan tangan kosong.

Malaysia yang memungut enam emas, lima perak dan enam gangsa sehingga hari ini menduduki tangga keenam dalam jumlah pungutan pingat.

Australia terus mengungguli dengan 50 pingat emas.

Atlet boling padang, memanah, berbasikal dan penembak mungkin dapat menambah pungutan pingat Malaysia di hari ketujuh kejohanan esok di mana 40 lagi pingat emas menjadi rebutan.

Selain itu Ketua Persekutuan Sukan Komanwel, Mike Fennell berkata kejohanan setakat ini didapati bebas dari masalah pengambilan dadah di kalangan atlet.

"Kami telah membuat 500 ujian sejak dua hari lalu dan kesemuanya adalah negatif. Ia berupa tanda positif yang baik. Kami akan melaksanakan sasaran awal kami untuk mengadakan 1,500 ujian," katanya pada persidangan media.

Sementara itu tiga atlet negara asing dilaporkan disyaki dijangkiti demam denggi dan malaria.

No comments

Powered by Blogger.