Sukan Komanwel: Tiada Pingat Daripada Acara Renang Buat Pasukan Malaysia

Daripada Frank Julian Martin

NEW DELHI, 10 Okt (Bernama) -- Perenang Malaysia gagal menyumbang sebarang pingat daripada empat acara yang ditandingi dalam Sukan Komanwel ke-19 di Kompleks Akuatik Dr. S.P. Mukherjee di sini Sabtu.

Kuartet Ian James Barr, Yap See Tuan, Daniel Bego dan Foo Jian Beng hanya mencatatkan 3:48.70s untuk menduduki tempat ketujuh dalam saingan akhir lelaki 4x100m Rampaian Berganti-ganti.

Pingat emas diraih kuartet Australia, Ashley Jason Delaney, Brenton Scoot Rickard, Geoffrey Andrew Huegill dan Eamon Wade Sullivan yang mencatatkan masa 3:33.15s, untuk memecah rekod kejohanan yang dicipta oleh kuartet Australia sebelum ini di Melbourne, 2006.

Pingat perak dimenangi kuartet dari Afrika Selatan Charl Stefan Crous, Cameron Van Der Burgh, Chad Guy Le Clos dan Gideon Abraham Louw dengan masa 3:36.12s.

Liam John Tancock, Daniel Jozel Sliwinski, Anthony John James dan Simon Andrew Burnett dari England pula memenangi pingat gangsa dengan masa 3:36.31s.

Dalam kategori wanita acara yang sama pula, peserta Malaysia Chan Kah Yan, Loh Yen Ling, Khoo Cai Lin dan Chui Lai Kwan menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan masa 4:23.40s.

Emily Jane Seebohm, Leisel Marie Jones, Jessicah Schipper dan Alicia Jayne Coutts dari Australia menggondol pingat emas dengan masa 3:56.99s.

Gemma Mary Spofforth, Kate Emma Haywood, Ellen May Gandy dan Francesca Jean Halsal dari England memperoleh perak dengan catatan 4:00.09s manakala Julia Rose Wilkinson, Annamay Pierse, Audrey Lacroix dan Victoria Poon Cheuk Yuen dari Kanada mencatatkan 4:03.96s untuk membawa pulang gangsa.

Sementara itu, Fraidden Dawan yang beraksi dalam Sukan Para S10 lelaki 100m Gaya Bebas akhir hanya berkesudahan di tempat keenam dengan catatan 1:05.17s.

Benoit Huot dari Kanada mencatatkan rekod baru kejohanan dan meraih emas dengan catatan 53.70s.

Andrew Bruce Pasterfield dari Australia memperoleh perak dengan masa 55.04s manakala Robert Welbourn pula memenangi gangsa dengan catatan 55.10s.

Yap See Tuan gagal melayakkan diri ke acara akhir lelaki 200m Kuak Dada selepas mencatatkan 2:22.01s untuk berada di tempat kelima dalam Saringan 3 acara itu.

No comments

Powered by Blogger.