Tutup Sahaja Kursus Sains Politik di UKM

Dari Merdeka Review

“Mahasiswa tidak bodoh, kami ada otak. Kami sudah muak dengan dogma tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik,” – Ahmad Syukri, jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS), 28 September 2010.

Pada 28 September yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menghulurkan satu penghakiman terhadap saman oleh empat orang pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, berhubung pemakaian Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Pelajar-pelajar yang kini lebih dikenali dengan gelaran UKM 4 telah mencabar undang-undang tersebut sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bersuara dan ekspresi.

Hal ini timbul berikutan dengan tindakan UKM yang mendakwa pelajar-pelajar tersebut di Mahkamah Universiti kerana ditangkap di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, kononnya kerana menyokong parti pembangkang yang berkempen di sana.

Mereka ditemui dengan beberapa risalah parti pembangkang, yang menjadi asas kepada dakwaan pihak Universiti. Kami tidak mempersoalkan dakwaan pihak Universiti yang jelas sekali bermotifkan politik. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM boleh sahaja menyelesaikan isu ini dengan merestui penglibatan pelajar-pelajarnya dalam pilihan raya kecil tersebut. Ini adalah kerana beliau mempunyai kuasa untuk berbuat sedemikian, akan tetapi apa yang lebih afdal kepada pihak Universiti adalah untuk tunduk kepada “pihak atasan” dan mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin-pemimpin pelajar itu supaya dijadikan satu amaran kepada pelajar-pelajar lain yang sudah pun “dibonsaikan” pemikiran mereka, supaya tidak memegang risalah-risalah pihak pembangkang.

Tindakan Universiti sememangnya tidak masuk akal, tindakan mendakwa pelajar jurusan Sains Politik kerana menjadi pemerhati politik jelas sekali bertentangan dengan matlamat mendidik mereka untuk menjadi ilmuwan dalam bidang Sains Politik. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, malah telah dijangkakan. Apa yang tidak diduga adalah pendirian Mahkamah Tinggi dalam memutuskan kes berprofil tinggi ini. Alasan kehakiman yang diberikan, menyatakan bahawa Seksyen 15 AUKU adalah sah kerana sekatan hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan boleh dilakukan dengan alasan untuk menjaga ketenteraman komuniti pelajar di Universiti. Mungkin perkara ini tidak dapat difahami orang ramai kerana melibatkan pandangan undang-undang yang kompleks.

Kami tidak dapat memahami mengapa tindakan pelajar-pelajar itu boleh dianggap sebagai menjejaskan kenteraman mana-mana pihak selain pihak parti pemerintah, namun ini adalah untuk diputuskan oleh Mahkamah Universiti yang disidangi oleh panel yang dilantik pihak universiti sendiri. Mungkin selepas ini pihak Universiti akan mendakwa semua pelajarnya yang menunjukkan sokongan kepada parti politik dengan mengundi dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Adalah menjadi persoalan mengapa pelajar berusia 21 tahun, tidak dibenarkan berpolitik sehinggakan mereka dihalang untuk memiliki risalah-risalah parti politik, tetapi boleh mengundi dalam pilihanraya umum.

Sebab itulah barangkali pada tahun 1999 anak perempuan kepada Senator Shahrizat Abdul Jalil (gambar kiri) tidak diambil sebarang tindakan undang-undang apabila pulang bercuti dari pengajiannya di luar Negara kerana membantu kempen ibunya di Lembah Pantai. Kepulangan beliau mendapat liputan media dan ditemuramah berserta menyiarkan gambar-gambar beliau berkempen pada waktu itu.

Hak berpolitik adalah hak setiap warganegara yang waras, hak seperti ini tidak wajar disekat oleh mana-mana parti politik. Tekanan terhadap palajar-pelajar yang ingin berpolitik adalah tidak boleh diterima kerana tindakan seperti itu umpama membunuh bakal-bakal pemimpin masa depan. Sikap cemburu kerajaan juga sudah mencapai satu tahap yang menjengkel dan merimaskan semua pihak.

Sepatutnya Kerajaan menghargai pemuda-pemudi yang berminat dalam politik tanahair, lebih-lebih lagi pelajar jurusan sains politik yang bukan sekadar mahu berpolitik tetapi memahami apa itu politik sebenarnya. Idealisme dan semangat mereka itu tidak wajar dihukum dengan tekanan sebegini rupa semata-mata kerana mereka tidak menyokong parti pemerintah.

Kami berpendapat sikap paranoia melampau kerajaan, sudah mencapai satu tahap tidak boleh diterima lagi. Pemimpin mahasiswa, kartunis, dan penyanyi rap dilayan seolah-olah penjenayah, hanya kerana tidak menyokong parti pemerintah. Mungkin mereka perlu sedar, masalahnya bukan pemimpin pelajar, bukan juga kartunis sinis, remaja yang kesat, mahupun parti pembangkang, masalahnya adalah kelakuan mereka sendiri. Kelakuan yang tidak masuk akal, tidak adil, menindas dan membuli rakyat.

Jika kerajaan sudah tidak hormat kepada rakyat, bagaimana harus rakyat menghormati kerajaan? Kerajaan perlu menghormati kehendak Mahasiswa yang lantang, kerana mereka adalah peneraju masa depan negara. Jika ini caranya kerajaan melayan pelajar Universiti, minda-minda terbaik negara, bayangkan apa nasib rakyat marhaen?

No comments

Powered by Blogger.