Wang ihsan: Warga P. Pinang digesa usah diperdaya Umno, kata Exco

GEORGE TOWN, 10 Okt — Exco Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menggesa warga emas di Pulau Pinang supaya tidak terperdaya dengan politik murahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam isu wang ihsan warga emas.

“Mereka sebenarnya takut kerana rakyat sudah mulai mempersoalkan kenapa semasa BN memerintah tidak pernah diwujudkan skim penghargaan sebegini jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau mengulas tindakan terbaru kelmarin di mana seramai 60 lagi warga emas didakwa memulangkan wang ihsan warga emas kerajaan negeri.

Tambah beliau, Umno dan BN juga sudah merasai persoalan demi persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat tidak mampu untuk mereka hindari dan akhirnya mencari alasan bagi memburukkan kepimpinan kerajaan negeri PR.

“Akan ada lebih banyak lagi lakonan daripada Umno dan BN menjelangnya pilihan raya kecil Galas yang akan datang ini bagi mencalarkan imej PR.

“Seolah-olah mereka ini prihatin terhadap warga emas sedangkan semasa mereka sendiri mentadbir tiada langsung penghargaan sedemikian kepada mana-mana rakyat negeri ini, “ ujarnya lagi.

Pada 30 September lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim mendakwa telah pun menerima pulangan wang warga emas dari 40 orang yang berada dalam kawasan Penaga.

Sehubungan itu, 70 lagi warga emas didakwa bertindak memulangkan wang yang diterima daripada kerajaan negeri kepada Ketua Umno Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu, 2 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini telah menzahirkan kenyataan beliau bahawa sehingga ini kerajaan negeri tidak menerima sesen pun wang yang diuar-uarkan oleh Umno dan BN dipulangkan.

Malah beliau juga menggesa kerajaan pusat supaya mengakui kutipan hasil cukai judi sebanyak RM2.3 bilion yang telah dikutip setiap tahun oleh mereka telah digunakan untuk semua projek pembangunan termasuk membayar gaji seramai 1.2 juta penjawat awam persekutuan dalam negara.

Lim juga berkata sehingga ini jumlah warga emas yang mendaftar dengan Kerajaan Negeri dalam program penghargaan warga emas adalah melebihi 107,000 orang.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah berkata kerajaan negeri Pulau Pinang telah melakukan yang terbaik bagi membela nasib warga emas yang berada di negeri ini sejak mula memegang tampuk pemerintahan sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga berkata, dakwaan yang dibuat oleh Umno dan BN kebelakangan ini dalam isu wang penghargaan kepada warga emas sebanyak RM100 seorang itu telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik mereka.

“Kerajaan negeri telah beberapa kali menyatakan hasil dari lebihan terkumpul wang dalam belanjawan 2010 digunakan untuk pemberian sebagai sumber kewangan kepada warga emas.

“Ia bukannya dari hasil judi sepertimana yang didakwa oleh Umno dan BN kini,” kata Yusni ketika menyampaikan ceramah isu semasa di markas PAS Pongsu Seribu, Tasek Gelugor malam tadi.

“Inilah muslihat jahat Umno dan BN bagi menggagalkan program Pakatan Rakyat yang mendatangkan manfaat kepada rakyat setelah melihat kejayaan ini menggugat kedudukan mereka.

“Warga emas jangan terpedaya dengan mainan politik terdesak Umno ini bagi meraih simpati masyarakat dengan memperalatkan sentimen kaum dan agama untuk menyelamatkan kuasa politik mereka yang semakin terhakis, “ ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri juga telah berjaya membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan dalam tempoh satu tahun.

Perkara ini katanya, tidak pernah dilakukan oleh BN walaupun telah memerintah selama lebih dari 50 tahun.

Sebelum ini dakwaan sumber judi dijadikan sebagai hasil untuk pembayaran kepada warga emas dan miskin tegar telah dibangkitkan oleh Umno di Pulau Pinang.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mendakwa wang dari Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang diterima oleh Kerajaan Negeri digunakan untuk program tersebut.

Namun begitu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus telah mengesahkan bahawa wang sumbangan sebanyak RM2 juta daripada kelab tersebut diasingkan dan dikhususkan kepada masyarakat bukan Islam.

Kerajaan negeri juga telah menyatakan kemampuan mereka untuk membayar sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi pogram warga emas adalah hasil dari penjimatan urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ahmad Izzat Shauki dalam ceramah yang sama pula berkata kenaikan tarif air di Kedah adalah satu keperluan, namun begitu ia telah disensasikan oleh Umno dan BN bagi menutup segala kelemahan mereka sebelum ini.

“Semasa BN mentadbir negeri Kedah dahulu, mereka telah meninggalkan beban hutang yang banyak kepada kerajaan negeri yang baru apabila hutang terkumpul bekalan air sahaja ialah RM1.7 bilion.

“Manakala hutang keseluruhan kerajaan negeri BN sebelum ini kepada pusat berjumlah RM2.3 bilion serta RM800 juta pula adalah hutang pelbagai termasuk pembangunan Kulim Hi-Tech dan PKNK,” katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Bukit Lada berkata, Umno dan BN di Kedah cuba untuk menutup segala keburukan semasa mereka memerintah negeri sehinggalah beban terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri PR dan rakyat negeri ini yang menjadi mangsa.

No comments

Powered by Blogger.