Warga Emas Ditemui Mati Ditembak Di Chow Kit

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang disangka mati akibat terhantuk kepala di dinding ketika mencuci lantai, rupa-rupanya ditembak di bahagian telinga kanan, selepas laporan awal keputusan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur dikeluarkan, Sabtu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa Kim Lian Hin, 69, telah ditemui mati di rumahnya di No 24 B Lorong Haji Taib 3, Chow Kit di sini, oleh orang awam kira-kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat.

"Mangsa dihantar ke hospital tersebut kerana pada mulanya kematiannya disyaki tiada unsur jenayah.

"Keputusan awal bedah siasat ke atas mangsa pada Sabtu, doktor sahkan luka di kepala mangsa adalah kesan tembakan di telinga kanan mangsa. Bagaimanapun bedah siasat akan diteruskan dan kita akan tunggu keputusannya," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.

"Kita masih mencari anggota keluarga mangsa untuk mengetahui identiti sebenar mangsa. Sekiranya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian agar tampil memberi maklumat bagi membantu polis menyelesai kes ini," katanya.

Katanya, kes itu diklasifikasi sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang tadi dan menemui sebutir peluru di kediaman mangsa.

No comments

Powered by Blogger.