DPPNK Sifatkan Nik Sepia Merapu

oleh Ahmad Fadhli Bin Shaari

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Nik Sepia Nik Yusof yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian 10 Mac 2011 sebagai merapu apabila meminta ahli PAS agar tidak takut mengundi parti lain. Menurut dakwaan Nik Sepia, ini berikutan kenyataan al-Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa undi PAS masuk syurga. Menurut Nik Sepia, penafian itu juga dengan sendirinya menafikan tuduhan haram memakan daging sembelihan orang UMNO dan berkahwin dengan anak orang UMNO.

2. Ini merupakan satu fitnah yang dahsyat dari Nik Sepia terhadap al-Mursyidul Am PAS dan juga parti PAS keseluruhannya. Hakikatnya, tidak pernah al-Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa oleh Nik Sepia. Selain itu, Nik Sepia juga memfitnah pimpinan-pimpinan PAS dengan kenyatannya : “Selama ini, pemimpin PAS ghairah mengeluarkan pelbagai fatwa sehingga ahli dan penyokongnya serta segelintir umat Islam di negara ini yang taksub dengan oemimin berkenan hanyut tanpa pegangan agama yang kukuh.”

3. DPPNK sifatkan Nik Sepia sudah merapu dan barangkali sudah nyanyuk ketika mengeluarkan kenyataan tersebut. Bilakah masanya Datuk Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa undi PAS masuk syurga? Bilakah masanya beliau mengeluarkan kenyataan makan daging sembelihan orang UMNO dan berkahwin dengan anak perempuan mereka haram hukumnya? DPPNK mencabar Datuk Nik Sepia membuktikan dengan terperinci tuduhan tersebut. Jangan hanya pandai berkokok di dalam akhbar dengan tuduhan rambang.

4. Hakikatnya apa yang disebut oleh Datuk Nik Abdul Aziz dan juga pimpinan PAS yang lain ialah batasan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyyah dan hukum menolak undang-undang Allah SWT.

5. DPPNK sedar Datuk Nik Sepia sebenarnya sedang mencari tapak untuk kembali ke medan politik. Hakikatnya beliau sudah terbuang dari politik Kelantan dan kes beliau yang didakwa menyerang bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu satu ketika dulu masih segar di ingatan.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).

Bertarikh : 10 Mac 2011

No comments

Powered by Blogger.