Skim Rumah Pertamaku bukan langkah bijak, kata MCLM

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 10 Mac — Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) menyifatkan keputusan kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku kepada golongan muda berpendapatan bawah RM3,000 sebagai keputusan baik tetapi “tidak bijak.”

Ini kerana, jelas salah seorang ahli MCLM Haslinah Yacob, Malaysia kini berhadapan dengan krisis perumahan dan sektor hartanah juga melambung naik dengan mendadak.

“Malangnya harga hartanah terlalu tinggi, rumah-rumah yang sesuai tidak dapat dibeli oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Ya, mereka yang terkena kesan yang besar adalah golongan muda yang mencari pelabur untuk membayar dahulu rumah pertama mereka.

“Bagaimanapun, menawarkan golongan muda untuk ‘membeli’ rumah tanpa bayaran pendahuluan bukan satu jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika pengumuman Skim Rumah Pertamaku kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata di bawah skim itu kerajaan melalui Cagamas Bhd akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut

Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, boleh mendapat pinjaman seratus peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun.

Jelas Najib, skim itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.

Tegas Haslinah, langkah kerajaan itu juga akan menyebabkan pembeli terpaksa berhadapan dengan bayaran semula yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi atau peningkatan harga hartanah.

“Adakah jumlah ini akan menjadi satu bentuk pinjaman atau pemberian kepada pembeli? Jika ia wang pendahuluan, adakah pembeli masih perlu membayar kembali wang itu pada satu tarikh yang ditetapkan ataupun termasuk dalam ansuran bulanan. Jika ya, dari mana wang pendahuluan untuk skim ini datang jika tidak dari Perbendaharaan Nasional? Adakah caruman pembayar cukai boleh digunakan untuk graduan pembeli rumah?

“Membeli rumah tanpa mana-mana bayaran pendahuluan bererti pembeli mempunyai sifar ekuiti. Sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi atau lonjakan harga hartanah ia akan menyebabkan pembeli membayar melebihi nilai rumah itu.

“Mendapat pembiayaan 100 peratus tidak bermakna pembeli tidak perlu menanggung kos, mereka juga perlu membayar kos lain yang mungkin agak membebankan bagi individu yang berpendapatan rendah... mereka juga sudah tentu dikehendaki membeli insurans gadai janji untuk mendapat pelindungan bank yang sepatutnya dicari untuk mendapatkan pinjaman, kos ini akan ditambah dalam pinjaman tersebut,” katanya.

Kata bakal calon MCLM bagi pilihan raya umum ke-13 itu, banyak persoalan yang timbul ekoran pelaksanaan Skim Rumah Pertamaku yang mungkin akan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung hutang seumur hidup.

“Akhirnya, kita perlu bertanya pada diri sendiri, berapa ramai yang berpendapatan bawah RM3,000 mampu membayar semula setiap bulan? Adalah Skim Rumah Pertamaku ini akan mewujudkan generasi yang akan dibebani hutang seumur hidup yang mana mereka tidak mampu membayarnya?

“Mungkin Najib, Cagamas dan bank-bank lain yang terlibat boleh bekerjasama untuk membentuk skim simpanan pemilikan rumah dan membantu rakyat jadi mereka mempunyai cukup wang untuk membayar wang pendahuluan ketika kedudukan kewangan mereka cukup untuk membuat pinjaman,” kata Haslinah.

No comments

Powered by Blogger.