Isu kitab injil: Bible Society mahu saman KDN

Oleh Debra Chong


KUALA LUMPUR, 10 Mac — Pertubuhan The Bible Society of Malaysia (BSM) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Kementerian Dalam Negeri kerana merampas kargo kitab Injil berbahasa Melayu, yang diimport dari Indonesia, di Pelabuhan Klang sejak 2009 sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan kumpulan Kristian.

Kitab-kitab injil itu menjadi punca kontroversi kerana mempunyai perkataan “Allah” di mana masyarakat majoriti Melayu Islam percayai kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam untuk merujuk kepada Allah.

“Saya ada melihat laporan berita dan pada masa yang sama BSM juga mengadakan perbincangan sebelum mengeluarkan respons rasmi,” kata Setiausaha Agungnya Dr Simon Wong kepada The Malaysian Insider hari ini.

Wong merujuk kepada kenyataan Kementerian Dalam Negeri semalam yang menafikan dakwaan sebuah persatuan penganut Kristian bahawa kementerian itu telah merampas dan menahan 5,000 kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia.

Menurut kementerian itu, kitab Injil berkenaan sebenarnya dilarang dibawa masuk ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat-syarat.

Satu surat penolakan bertarikh 26 Jun 2010 telah dihantar kepada pengimport tetapi sehingga kini pengimport masih belum menuntut kargo berkenaan.

Oleh itu, dakwaan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bahawa kementerian telah merampas dan menahan kitab Injil adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Kelmarin, Setiausaha Agung NECF Sam Ang mendakwa bahawa Kementerian Dalam Negeri telah merampas dan menahan kitab Injil berkenaan di Pelabuhan Klang sejak tahun lepas dan enggan mengeluarkan meskipun Kabinet telah meluluskan pengeluarannya.

Wong berkata beliau ada dokumen-dokumen yang menunjukkan kementerian itu telah bertindak silap.

BSM telah secara formal memohon untuk dibenarkan membawa keluar kital injil itu yang dirampas pada Mac 2009.

Dalam pada itu Persekutuan Kristian Malaysia juga menggesa agar kerajaan dengan segera melepaskan kesemua kitab injil yang ditahan oleh pihak berkuasa.

Pengerusinya Biskop Ng Moon Hing meminta kerajaan bertindak sekarang dan membuktikan keikhlasan dalam berurusan dengan komuniti Kristian di negara ini dalam isu tersebut dan kesemua isu lain yang dibangkitkan sejak persekutuan tersebut ditubuhkan pada 1985.

Kata beliau, persekutuan itu kecewa dan rasa marah dengan tindakan menghalang membawa masuk, yang terus wujud dan kali ini di Pelabuhan Kuching, Sarawak.

“Sebanyak 30,000 naskhah Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal kini ditahan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ng berkata kerajaan telah memberikan jaminan bahawa kitab injil dalam Bahasa Malaysia akan digunakan dengan bebas sekurang-kurangnya di Sabah and Sarawak.

Katanya, sejak Mac 2009 kesemua usaha untuk mengimport kitab injil dalam Bahasa Malaysia iaitu “Alkitab” sama ada menerusi Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Kuching telah dihalang.

Jelas Ng, kargo sebelum ini sebanyak 5,000 naskhah Alkitab yang dimport pada Mac 2009 masih ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang meskipun pelbagai rayuan sudah dibuat.

Ng menambah, rayuan itu telah membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membenarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang pada Disember 2009, yang dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin persekutuan oleh beberapa anggota Kabinet dan pembantu mereka.

“Bagaimanapun 5,000 naskhah Alkitab masih ditahan. Perdana Menteri rasa terkejut apabila dimaklumkan 5,000 naskhah masih ditahan ketika jamuan teh sambutan Krismas, keputusan dibuat beliau itu tidak dilaksanakan.

“Bagaimanapun tiada apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan naskhah-naskhah itu dikeluarkan,” katanya.

Ng berkata pihaknya mahu bertanya kepada kerajaan bagaimana program transformasi akan dijalankan dengan jayanya jika kakitangan awam enggan mematuhi keputusan Perdana Menteri.

“Adakah kerajaan tidak berkuasa untuk bertindak ke atas Napoleon Kecil yang mahu mengutamakan kepentingan dan agenda sendiri,” katanya lagi.

1 comment

nurmadamen said...

kitab injil inggeris menyatakan nama tuhan agama kristian adalah Yewweh. cuba baca kitab injil old testament dan new testament. masyarakat kristian inggeris akui nama Allah hanya untuk umat islam saja. Kenapa menggunakan nama Allah dalam kitab injil melayu. Tiada nama Allah dalam kitab injil cina. ini dapat dibuktikan keperibadian masyarakat kristian di Malaysia. Adakah masyarakat kristian di Malaysia malu dengan nama asal tuhan kristian (Yewweh) atau sengaja menghina umat islam melayu dengan menggunakan nama Allah di kitab injil melayu? Masyarakat kristian di indonesia sekarang keliru dan merasa sangsi akan kebenaran agama kristian kerana menggunakan nama Allah sebagai tuhan di kitab injil indonesia.

Powered by Blogger.