Hubungan PAS dan DAP : Satu Penjelasan

oleh Nasrudin Hassan

1. Kelihatan UMNO dan BN 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang - orang melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

2. UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.

3. Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.

4. Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.



5. Insyaallah, jika UMNO dan BN masih gagal membuka peluang untuk PAS dan rakan - rakan Pakatan Rakyat akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana menjelang 1 Mei akan datang, Himpunan 500K BERSIH 2 akan menjadi kenyataan pada bulan june akan datang.



6. Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya ummat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul saw bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul saw telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin [ rahmat - naungan kasih buat seluruh alam ].

7. Antara tindakan bestari Baginda Rasul saw ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan menentang kezaliman:

* Hilful Mutaiyyibin : Nabi saw. pernah menjelaskan mengenai Tahaaluf ini . Sabda Baginda saw :

شهدت حلف المطيبين و ما أحب أن أنكثه و أن لي حمر النعم


Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian ( tahaaluf ) al Mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali .

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad. al Musnad Jil 1. hlm 190 - 193

Perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] ini wujud apabila timbul persengketaan dikalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam - zam . Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] untuk tidak merampas hak masing - masing .

* Hilful Fudhul : Urutan Perjanjian Mutayyibin , Perjanjian atau kerjasama Fudhul dimeteri untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah . Samaada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah , juga kepada orang - orang asing yang berurusan di Kota Makkah . Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dikalangan mereka .

Sabda rasulullah saw : Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an , adanya satu perjanjian atau kerjasama [Fudhul] yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah . Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam , maka aku akan menyetujuinya .

Diriwayatkan oleh Ibn Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq . Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan ( tadlis ) disini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.

Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik - baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab . Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .

8. Kedua, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :

Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya dinaiki pencuri [ waliyazubillah - sbg contoh ]. Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya hanya seorang perempuan tapi lariannya agak licik dan pantas, lalu saya berteriak : Tolong ! Tolong ! perempuan itu curi wang saya ! Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama hindu namanya Balendran [sekadar contoh ] dan juga orang cina beragama kristian namanya Vincent [ sekadar contoh ], malah ramai lagi jiran saya turut keluar dan mereka terdiri dari pelbaga bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.



Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa - rupanya bulan lepas rumah mereka juga dinaiki pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama - sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul dihadapan rumah saya di Jalan Raja Laut [ sekadar contoh ], lalu mereka melafaz ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.



Kendati pun saya seorang muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non muslim, Islam membenarkan saya memeteri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba - tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata - mata kerana mereka berbangsa cina, india dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.



9. Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP ? bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC ? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India ? atau ada yang lebih cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab :

ضربني و بكى شتمني واشتكى


Dia pukul aku dia yang menangis , dia fitnah aku dia yang mengadu .

Begitu juga orang tua - tua pernah bisik pada saya, UMNO ni macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka , paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga.

10. Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka ? bukankah UMNO menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasinal ? :

* Sekian lama UMNO bertanding di kerusi Parlimen Raub akhirnya menyerahkan kerusi itu kepada MCA, demikian juga kerusi Parlimen Kuantan yang akhirnya UMNO terpaksa gadaikannya kepada MCA.

* UMNO pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang semasa dahulu kala, tetapi malang UMNO menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan.

* Lebih dari 3 penggal pilihanraya, UMNO yang menjadi kerajaan tidak pernah menambah kerusi melayu di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada setiap kali persempadan semuala kawasan pilihanraya dilakukan, sebaliknya menambah kerusi di negeri - negeri lain yang akhirnya mengurangkan peratus majoriti dan penguasaan melayu di Parlimen. Bukankah UMNO menjadi alat dan boneka kepada pihak lain ?

rasa macam nak sambung siri penjelasan ini.... tengoklah macam mana ...

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.