Jamil Khir: Kos haji diumum waktu terdekat

YAN, 13 Mac — Kos mengerjakan ibadat haji akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah meneliti kajian mengenai cadangan itu yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) tahun lepas.

“Tunggulah sama ada berlaku kenaikan kos atau tidak. Semua faktor yang mempengaruhi kos menunaikan fardu haji diambil kira, namun kerajaan manila tambang yang bakal diumumkan nanti sebagai sesuai dan tidak membebankan jemaah,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas Majlis Jalinan Rakyat Bersama Menteri di sini, berkata antara faktor yang diambil kira TH dalam cadangannya ialah pembangunan yang berlaku di sekitar Masjidil Haram dan Kota Mekah.

Mengenai penghantaran balik pelajar Malaysia ke Mesir, Jamil Khir berkata kerajaan pusat sedia memikul tanggungjawab negeri-negeri yang tidak sanggup atau enggan menanggung kos tersebut.

“Dari awal lagi saya beritahu perkara ini. Jadi janganlah mempolitikkan isu ini,” katanya.

Beliau turut kesal dengan penyebaran berita kerajaan Kedah pimpinan PAS terpaksa menghabiskan RM2.5 juta bagi menghantar pulang hampir 1,000 pelajarnya ke Mesir baru-baru ini, yang menggambarkan kerajaan pusat lepas tangan. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.