Jangan terpengaruh janji PM - Mazlan

Harakahdaily

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman menasihatkan pengundi di Kerdau khususnya yang tinggal di tanah-tanah rancangan Felda supaya tidak terpengaruh dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu musim pilihan raya.

Kata beliau, apa yang diumumkan oleh Najib sewaktu datang mengunjungi Felda Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau beberapa hari lalu hanyalah gula-gula pilihan raya yang belum tentu akan ditunaikan.

Pilihan raya kecil (PRK) Kerdau akan berlangsung 6 Mac ini.

"Ini bukan kali pertama Najib berjanji kepada masyarakat Felda, semasa PRK Parlimen Ulu Selangor, tahun lalu beliau berjanji untuk menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Felda Soeharto, Gedangsa dan Sg Tengi.

"Malah dibuat majlis pecah tanah dengan memanggil para peneroka datang, tetapi setelah hampir setahun berlalu adakah janji tersebut dikotakan?, tanyalah anak muda di sana adakah mereka mendapat rumah," kata beliau.

Kata Mazlan, Perdana Menteri juga pernah berjanji ketika PRK Tenang bulan lalu apabila meg mumkan 500 lot tanah kepada generasi kedua di Felda Cemplak, Cemplak Barat dan Felda Tenang.

"Hingga hari ini tanda-tandanya pun tiada," tambah beliau dalam sidang akhbar di Markas PAS Kerdau hari ini.

Kata Mazlan, apabila habis pilihan raya nanti, biasanya pemimpin- pemimpin Umno yang ini akan senyap sepi dan melupakan janji-janji mereka.

Katanya, sekiranya pemimpin Umno itu ikhlas mahu membantu, para peneroka atau generasi ke dua Felda hari ini sedang menikmati segara bantuan - bantuan atau rancangan kerajaan ke atas mereka, bukan baru mendengarnya dari mulut pemimpin.

Contohnya kata Mazlan isu perumahan generasi kedua Felda yang telah lama dibangkitkan tetapi tidak pernah di beri perhatian.

"Saya sendiri pernah mengetuai satu rombongan bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan pada tahun 2009 untuk berbincang masalah perumahan generasi kedua ini dan menyerahkan memorandum.

"Tetapi sampai hari ini tidak ada apa-apa tindakan yang menggembirakan generasi kedua dilakukan oleh Adnan," ujar beliau.

Baru-baru ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan ketika datang berkempen di Jengka 22 dan 23 turutmembangkitkan lagi isu perumahan generasi kedua dengan mencadangkan supaya anak-anak peneroka mohon tanah dengan Kerajaan Negeri.

Justeru Mazlan menyifatkan kenyataan itu hanya permainan politik pemimpin Umno untuk meredakan kemarahan anak-anak muda Felda.

Dalam perkembangan lain, Mazlan hari ini menyahut cabaran dialog berkenaan isu Felda yang dikemukakan oleh Ahmad Maslan Januari lalu.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan anggota Anak dan bersetuju untuk bertemu Ahmad Maslan.

"Maklumkan masanya, kami dari Anak akan datang," katanya.

Menurut Mazlan, beliau akan datang bersama 20 anggota anak untuk membangkitkan 50 isu berkaitan Felda.

"Saya harap kali ini beliau tidak akan berdolak dalik lagi," ujar Mazlan.

Ahmad Maslan sebelum ini pernah mengemukakan cabaran dialog secara tertutup terhadap Mazlan ketika berkempen dalam PRK Tenang bulan Januari lalu sebagai reaksinya kepada Mazlan yang mencabarnya berdialog secara terbuka.

Kata Ahmad beliau mencadangkan dialog tertutup kerana isu Felda memerlukan masa yang lama untuk di bincangkan.

No comments

Powered by Blogger.