Sabah adalah ‘rakan kongsi’ kerajaan persekutuan- Ahmad Thamrin

KOTA KINABALU: Sabah merupakan rakan kongsi dengan kerajaan persekutuan yang mempunyai hak yang sama rata melalui persetujuan yang dicapai ketika proses pembentukan Malaysia.

Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah, Ahmad Thamrin Jaini berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Autonomi Sabah
pada Konvensyen KEADILAN yang diadakan di negeri itu semalam.

“Di awal pembentukan Malaysia ini (Yang Dipertua Negeri) Sabah bukan dikenali sebagai Yang di Pertua Negeri tetapi Yang Di Pertua Negara. Di Sabah ada jawatan menteri, tidak seperti di semenanjung yang mempunyai jawatan exco. Ini (antara) perbezaan yang ketara,” kata beliau yang memegang portfolio Kewangan, Keselamatan dan Imigrasi dalam Majlis Presiden.

Selain itu katanya, Sabah mempunyai keistimewaan dalam perjanjian 20 perkara yang dimeterai ketika pembentukan Malaysia pada
1963, termasuk memiliki kuasa autonomi dari segi imigresen.

“Kita juga ada mempunyai Ordinan tanah, kerajaan tempatan dan sebagainya. Kalau dulu institusi pendidikan diberikan satu kuasa untuk negeri Sabah. Kita juga ada perlembagaan sendiri.

“Ini memperlihatkan status Sabah tidak sama seperti negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang dan sebagainya,” ujar beliau.

Katanya, konvensyen KEADILAN Sabah adalah permulaan untuk mengembalikan kuasa autonomi yang seharusnya diberi kepada
Sabah sejak dahulu.

“Konvensyen ini merupakan satu landasan untuk kita mempersiapkan diri dan merancang polisi dan cara bagaimana kuasa autonomi yang seharusnya dinikmati melalui pembentukan Malaysia menjadi realiti dan tidak membiarkan ia terus dirampas daripada kita,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, langkah awal yang boleh diambil bagi mengembalikan semula kuasa autonomi itu harus bermula dengan Nisbah atau komposisi pengagihan kerusi parlimen.

“Ianya amat penting, ia (parlimen) satu badan yang tertinggi dalam persekutuan Malaysia yang bertanggungjawab dalam soal pembentukan
dasar pemerintahan undang-undang. Kita tahu ia wajar untuk kita ketahui nisbah pengagihan itu adalah 51 dan 46 peratus.

“Ianya akan menjadi satu asas landasan untuk negeri Sabah, bila kita mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup iaitu boleh
menafikan majoriti dua pertiga, maka tidak mudah kerajaan persekutuan untuk merubah dan merampas hak dan kepentingan negeri
Sabah itu sendiri,” ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.