Slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' Dr Mahathir amat berjaya

Bagi seseorang pemimpin yang inginkan ‘self-actualization’ peribadinya, Dr Mahathir adalah pemimpin yang paling berjaya di dalam sejarah negara merdeka kita ini. Apa sahaja yang beliau mahukan berjaya di dapati dan dinikmati beliau. Saya menulis lagi tentang beliau kerana akhir-akhir ini nama beliau menjadi sebutan orang ramai selepas beliau menulis memoir beliau ‘Doctor in the house’ yang sekarang telah mencecah jualan melebihi 10,000 naskah.

Beliau mahir bagaimana hendak mendapatkan apa yang beliau mahu. Beliau memahami apa yang ada di dalam hati rakyat terutamanya orang Melayu dan lebih khusus lagi ialah orang Melayu di dalam UMNO. Dr Mahathir mahir mengambil kesempatan kepada kelemahan orang Melayu dan kefahaman beliau tentang sifat dan perangai orang Melayu.

Itulah sebabnya Dr Mahathir mengambil sifat mudah mengalah dan baik hati orang Melayu itu sebagai kelemahan yang boleh diperguna untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau faham orang Melayu mudah percaya dan memberikan keyakinan kepada beliau walaupun banyak dari apa yang dilakukan oleh beliau itu memudharatkan perjuangan orang Melayu sendiri.

Beliau tidak sehaluan dengan semua pihak termasuk UMNO sendiri. Apabila UMNO (asal) itu seperti pertubuhan yang lain yang mempunyai perlembagaan membenarkan pertandingan di dalam parti, beliau mengambilnya ‘personal’ dan apabila parti mencalunkan orang lain untuk mendapatkan pilihan beliau secara sistematik menjadikan parti itu mati di sisi undang-undang.

Beliau kemudiannya menuduh orang lain kerana matinya UMNO itu. Beliau menyalahkan perlembagaan yang membolehkan ahli memilih pimpinan. Sekarang wujud UMNO (baru) yang di tubuhkannya dan parti ini adalah satu-satunya parti di dalam dunia ini yang tidak membolehkan ahli membawa apa-apa kes untuk ‘arbitration’ ke mahkamah. Keputusan undang-undang hanya terletak di tangan pemimpin-pemimpin semata-mata. Undang-undang hanya mereka yang memimpin untuk menentukan.

Keputusan undang-undang hanya untuk kepentingan mereka yang sedang di rasuk kuasa. Yang penting kuasa jangan terlepas kepada pihak lain. Biar putih mata jangan sesekali berputih tulang. Alasannya tentulah untuk menjaga perpaduan UMNO walaupun tujuannya ialah untuk perpaduan di antara mereka segelintir pemimpin yang mabuk kuasa.

Saya selalu bercakap yang slogan ‘kepimpinan melalui teladan’ anjuran Dr Mahathir sangat berjaya. Teladan ini di ikuti sampai kehari ini oleh pimpinan-pimpinan yang menggantikan beliau. Malahan sudah pun menjadi budaya yang diterima pakai oleh kebanyakan yang memimpin kita. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli serta penyokong UMNO pada hari ini ramai yang telah meneladani kepimpinan Dr Mahathir dan ini lah satu-satunya slogan ciptaan Dr Mahathir yang paling berjaya dilaksanakan dan dipraktikan.

Projek pembangunan yang mega-mega hanya dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai orang-orang yang berpengaruh di belakangnya. Setengah syarikat-syarikat itu ada Raja-Raja di belakangnya. Setengah syarikat itu ada Menteri-Menteri si sebaliknya, malahan hanya syrikat-syarikat dan kumpulan yang berpengaruh sahaja yang mendapat segala peluang dalam pengagihan ekonomi negara kita.

Bagi sesebuah negara menjadi negara yang stabil politiknya, asas yang paling penting ialah negara yang mempunyai kelas menengah yang besar. Kelas menengah ini merupakan kumpulan yang berpengaruh untuk menentukan jatuh bangunnya politik sesebuah politik dan negara. Itulah sebabnya di zaman perlaksanaan DEB dahulu Malaysia telah melebarkan kelas menengah rakyat dan apa yang menggembirakan ialah pertambahan bilangan orang Melayu yang termasuk di dalam gulungan ini.

Itulah sebabnya usaha merapatkan perbezaan pendapatan di antara yang berada dan tidak berada menjadi teras utama di dalam usaha mencapai perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Kalau kita lihat contoh-contoh yang nyata, kita boleh melihat di negara-negara maju. Negara maju yang sangat ‘familiar’ bagi rakyat Malaysia ialah England, negara bekas penjajah Tanah Melayu itu dan elok kita lihat contoh yang terbaik untuk menyaksikan negara yang mempunyai kelas menengah yang besar.

Kesetabilan politik negara itu sudah sampai keperingkat optima kerana kebanyakan rakyatnya adalah tergulung kedalam kategori kelas menengah dan tidak banyak perbezaan dari segi pendapatan dan ‘social disparity’ yang besar. Kumpulan yang terkaya memperolehi kekayaan yang besar itu bukan dari keistimewaan dari kerajaan dan tidak kita mendengar PM Britain terlibat di dalam pembahagian projek-projek gergasi seperti yang berlaku di sini.

Gulungan yang terkaya hanya kecil bilangan jika dibandingkan dengan 55 juta rakyat negara itu. Begitu juga sebaliknya junlah yang miskin tidak begitu tinggi peratusannya seperti yang ada di sini.

Dr Mahathir lah yang memulakan budaya seorang PM mempengaruhi pembahagian projek-projek raksaksa kepada kawan-kawan dan kroni yang rapat sehinggakan sekarang ini kita mendengar ahli-ahli perniagaan yang bertanya serta tercari-cari siapa yang boleh membuka jalan untuk memajukan ‘proposal’ perniagaan terutamanya jika jumlah yang terlibat itu melibatkan berbillion ringgit.

Sesiapa yang mengenalkan dan membuka laluan kepada PM dan orang yang berkuasa yang lain sudah tidak bersusah payah untuk berniaga kerana komisyennya sangat besar. Jumlah kos komisyen itu sudah dimasukan ke dalam kos projek itu sebagai ‘pelincir’ untuk pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan kepada siapa projek itu di anugerahkan.. Budaya ini sudah menjadi budaya yang sudah sebati dan sesiapa yang menegur tentang isu ini akan dianggap sebagai kesalahan.

Itulah sedikit sebanyak coretan yang membuktikan bahawa slogan ‘kepimpinan melalui teladan’ anjuran Dr Mahathir itu sangat berjaya sehingga ke hari ini. Budaya ini tidak akan dapat di hilangkan selagi UMNO masih dipimpin oleh jenis pemimpin didikan pemimpin besar dunia ketiga ini.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/03/slogan-kepimpinan-melalui-teladan.html

No comments

Powered by Blogger.