KEADILAN kunjungi kedutaan Jepun, ucap takziah

Pimpinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN dan kerajaan Selangor bersimpati atas kesengsaraan rakyat Jepun

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN mengunjungi Kedutaan Jepun di Malaysia bagi menyatakan kesedihan berhubung kejadian gempa bumi dan tsunami di negara itu.

Mereka ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua dan Datuk Pengerusi Majlis KEADILAN Negeri Sembilan, Kamarul Baharin Abbas.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Ketereh, Aziz Kadir dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ghani dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad. Beberapa Exco Selangor, Elizabeth Wong, Rodziah Ismail dan Ronnie Liu, turut berbuat demikian.

Mereka disambut Timbalan Chief-de-Mission kedutaan itu, Koichi Ito.

Khalid menyampaikan salam takziah Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan menyatakan mereka mendoakan kesejahteraan mangsa bencana alam dan menawarkan bantuan untuk merawat mangsa.

Ia berikutan Selangor mampu menghulur bantuan pemulihan menerusi pelajar kejuruwatan Kolej Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan tidak keberatan membiayai penghantaran mereka.

“Inilah bantuan sedikit yang kami boleh hulurkan. Kami mendoakan semua mangsa yang selamat agar cepat sembuh. Kami tahu dan yakin rakyat negara Jepun akan pulih dari malapetaka itu, dengan cepat,” katanya.

Koichi menghargai keprihatinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang mengambil berat dan simpati terhadap penderitaan mangsa bencana alam itu.

“Kami yakin mampu mengatasi bencana ini. Kerajaan Jepun sangat menghargai semangat perpaduan yang ditunjukkan Pakatan Rakyat, Kerajaan Selangor dan rakyat Malaysia,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.