Taib hendak berundur? - Jangan hiraukan janji itu.

Taib Mahmud berkata beliau akan mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas kemenangan BN di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan tiba tidak lama lagi. Walau bagaimana pun beliau akan berundur sesudah dapat mencari pengganti beliau yang sesuai. Tidak diberitahu pula kita samada yang sesuai untuk beliau atau untuk rakyat yang inginkan kerajaan yang bersih. Sudah 30 tahun beliau menerajui negeri itu, namun sehingga hari ini beliau masih tidak dapat mencari pengganti beliau. Mungkin rakyatlah yang patut mencari pengganti Taib ini.

Setakat ini beliau hanya mampu untuk membuktikan yang Sarawak tidak ada pemimpin yang boleh memimpin selain dari diri beliau sendiri. Kalau dahulu, dalam keadaan Sarawak mempunyai ramai pemimpin yang boleh menggantikan beliau, Taib tetap tidak mahu berundur. Maka kita tidak nampak sesiapa yang mampu pada hari ini setelah pemimpin yang berkemampuan semuanya telah berhenti dan bersara dari bergiat dalam politik negeri itu.

Di kalangan kepimpinan BN Sarawak khusunya PBB sekarang sedang menghadapi ketandusan kepimpinan dan ‘vacuum’ yang disebabkan keengganan Taib untuk berundur selama ini menjadi masalah yang sangat besar di Sarawak. Jika pilihanraya di adakan dengan bersih sudah pasti Taib dengan BN nya sudah lama jatuh dan tidak berkuasa lagi.

Tetapi oleh kerana Sarawak masih mundur dan ramai di antara pengundinya berada di pedalaman dan miskin mereka akan terus bersama BN apabila Taib dan wang ringgitnya sampai lima tahun sekali bagi membeli belah undi untuk berkuasa selama 5 tahun lagi. Dalam lima tahun itu segala perbelanjaan pilihanraya itu akan dapat digantikan dengan kerja-kerja rasuah dan melalui penebangan hutan belantara negeri itu.

Janji pemimpin rakus seperti ini memang sudah biasa didengar oleh rakyat khususnya mereka yang sudah lama hidup dan banyak pengalaman. Janji pemimpin untuk berundur diri hanya mainan bibir sahaja. Lidah yang lembut itu mudah mengenakan kata-kata manis untuk menabur janji yang akhirnya tidak ditepati.

Di antara yang saya ingat ialah janji Dr Mahathir semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agong UMNO 1981 dahulu semasa mengambil alih kepimpinan dari Datuk Husein Onn. Semasa itu perhimpunan agong tahunan UMNO masih di adakan di Dewan Nirwana Hotel Hilton Kuala Lumpur. Saya mendengar ucapan itu dengan jelas kerana perwakilan dari Bahagian saya duduk di hadapan sekali didalam Dewan Persidangan itu. Dr Mahathir memberi tahu perhimpunan itu agar memberi beliau signal jika ada tanda-tanda yang beliau tidak digemari lagi oleh rakyat dan ahli UMNO, dan beliau akan berundur secara terhormat.

Tetapi apabila ahli-ahli UMNO telah menunjukkan tanda-tanda itu beliau tetap bertahan sehingga beliau memimpin negara selama 22 tahun. Apabila UMNO sudah menunjukkan yang beliau sudah tidak popular lagi beliau menubuhkan parti baru untuk membawa pemulaan baru bagi beliau dan terus memimpin sambil meninggalkan ramai pemimpin yang beliau geruni duduk di luar parti yang baru beliau tubuhkan itu.

Pada tahun 1985 apabila PBS ditubuhkan dengan pantas untuk menyertai pilihanraya negeri Sabah bagi menandingi parti Berjaya pimpinan Ketua Menteri Haris Salleh, Dr Mahathir telah berucap keseluruh negara melalui stesen-stesen TV, Dr Mahathir berkata “I will sink and swim with Berjaya’.

Tetapi apabila Berjaya kalah dan Haris sendiri kalah di tangan Kaduh Agundung Dr Mahathir “swam with PBS and ignored the sinking Berjaya”. Berjaya hanya tinggalkan dalam coretan ahli-ahli sejarah dan kalau tidak silap saya parti itu sudah tidak ada lagi di dalam pendaftar pertubuhan. Dr Mahathir bermain politik mengikut resmi air; dimana lekok di situ beliau berhenti.

Berbalik kita kepada janji Taib Mahmud tadi, lebih elok jangan kita hiraukan janji-janji manis beliau itu sehingga beliau benar-benar berundur. Kita anggap sahaja beliau akan terus duduk di singgahsana kuasa sampai beliau meninggalkan kita semua. Janji-janji seperti ini memang selalu kita dengar. Jarang-jarang janji-janji itu ditepati.

Kadang-kadang ingin rasanya meminta pemimpin kita membuka mulut mereka luas-luas; nak tengok lidah di dalam mulut mereka itu lidah manusia atau lidah…… .

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/03/taib-hendak-berundur-jangan-hiraukan.html

No comments

Powered by Blogger.