Tun Mahathir boleh didakwa di bawah Akta Hasutan- Aziz Bari

SHAH ALAM: Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jahil perlembagaan kerana mempersoalkan
peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Beliau mengulas demikian merujuk kepada blog Mahathir tahun lalu yang
boleh didakwa di bawah Akta Hasutan kerana merpertikaikan peruntukan
tersebut di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tulisan Tun Mahathir dalam blognya adalah salah apabila mempersoal
sekolah Rendah Jenis Cina (SRJC) dan Tamil (SRJT) untuk dapat
peruntukan. Beliau boleh ditangkap dan didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Hak kaum Cina dan India dijamin di bawah Artikel 152 Perlembagaan
Persekutuan manakala bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya
ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Federalisme: Keadilan Dalam
Mengagihkan Kekayaan Negara’ pada program Wacana Ekonomi di Dewan
Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini hari ini.

Aziz berkata, Artikel 152 menyatakan bahawa kedudukan dan hak bahasa
lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan
menggunakan dana awam tidak akan dinafikan.

“Di bawah Artikel 152 memberi jaminan dan mekanisma yang memastikan
semua orang mendapat hak masing-masing dan kerajaan boleh memberi
peruntukan kepada sekolah-sekolah ini,” ujarnya.

Aziz turut menyifatkan isu-isu yang dibawa oleh Pertubuhan Peribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah tidak logik kerana pernah menentang
peruntukan kepada SRJC dan SRJT tahun lalu.

“Apa yang diperjuangkan Perkasa itu tidak logik dan masuk akal kerana
melanggar perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agong KEADILAN,
Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Strategi, Rafizi Ramli; Pengarah
Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Adun
Sri Muda, Shuhaimi Shafei, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit
Melawati, P Muthiah dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Majlis itu turut diserikan dengan ucapan pembukaan daripada Datuk Bandar
Shah Alam, Datuk Mazalan Mohd Nor.

No comments

Powered by Blogger.