Rosaknya maulud nabi, andai rasul hadir apa perasaannya?
Saya bangun hari ini dengan azam untuk meluangkan lebih masa untuk mengenang sirah Rasulullah s.a.w. dan ajaran yang dibawa baginda. Tatkala saya sedang berusaha menggali mutiara di kaki sirah baginda, saya memujuk hati membuka televisyen menonton siaran Sambutan Maulud Nabi di Stadium Bukit Jalil, sambil mengenang keadaan huru-hara umat akhir zaman ini. -->-->
Siaran langsung sambutan ini dimulakan dengan perarakan agensi-agensi kerajaan. Seterusnya, ialah perasmian dan penyampaian anugerah tokoh Maulud Nabi oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan.
Kelihatan majlis sungguh meriah. Namun, apabila mengenang situasi umat hari ini, rasanya ada kelompangan dalam sambutan ini. Iaitu, mana semangat penghayatan kecintaan umat ini kepada Baginda s.a.w.? Bukankah seorang pencinta akan turut ikut cara hidup orang yang kita cintai?
Persoalan ini tambah mengelirukan bila saya melihat beberapa insiden. Dalam sambutan ini, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bersalaman dengan seorang wanita bukan muhrim yang juga merupakan penerima anugerah pada sambutan tersebut. Di sebelah menteri tesebut, jelas YDP Agong terkesima beberapa saat dengan insiden ini.
Namun baginda masih mampu mengawal dirinya untuk tetap menurut sunnah baginda yang tidak pernah sekali-kali menyentuh wanita yang bukan muhrim dan tidak halal baginya. Cukup sekadar sekuntum senyuman penghormatan dihadiahkan oleh seorang Sultan untuk rakyatnya.
Insiden ini sememangnya mengundang banyak persoalan, daripada soal prinsip asas Islam sehinggalah ke soal hukum, pendapat mazhab dan adab al-ikhtilaf. Saya kira soalan yang paling utama, apakah erti Islam di hati kita? Bukankan Islam itu ertinya 'damai' dan 'sejahtera'.
Maka setiap yang yakin dengan cahaya damai ini mesti memanifestasikan keyakinan ini dengan hati, lisan dan perbuatan. Apatah lagi bagi seorang pemimpin yang mengaku percaya dengan ajaran baginda. Bukankah kepimpinan itu lahir melalui tauladan, dari pucuk pimpinan negara kepada rakyat jelata?
Mungkin akan ada yang berpendapat, bersalaman itu tujuannya sebagai tanda penghormatan. Benar, nilai hormat menghormati itu mulia. Namun, Allah Tuhan yang Maha Mencipta, juga Maha Mengetahui cara yang paling sesuai menuju sebarang matlamat mahupun dalam ekspresi nilai-nilai murni ini.
Dalam hubungan sesama manusia, rasa damai itu wujud bila manusia saling menghormati, lelaki dan wanita juga saling menghormati, dengan cara yang damai lagi sejahtera.
Tenteram hati kedua-duanya dan manusia disekeliling kita. Tenteram juga bagi Rasulullah andai baginda hadir ke majlis sambutan ini. Tenteram juga baginda melihat rancangan NTV7 jika hos wanita muslimah menutup aurat sambil menemubual kumpulan Rabbani meskipun berlatarbelakangkan poster 'Planet Hollywood' dalam siaran beberapa malam lalu.
Pastinya Rasulullah aman sekali melihat umatnya menyintai baginda dengan menuruti cara hidup (sunnah) yang disenangi oleh baginda.
Dalam erti yang lebih luas, jelaslah dari Allah lahir segenap rasa damai. Andai kita senang hati menerima setiap titisan air hujan dari langit dan makanan yang tumbuh darinya, maka seharusnya senang juga kita menerima setiap butir ajaran cara hidup dari langit ini.
Tinggal lagi terserah kepada keinginan kita untuk mencari erti rasa damai yang kekal abadi dan tetap teguh berpegang dengan ajaran ini. Setiap manusia itu pemimpin bagi diri masing-masing, yang di Akhirat kelak akan ditanya tentang setiap yang dipertanggungjawabkan baginya.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita dalam menunaikan perintah-perintahNya dan menjauhi laranganNya. --- aba.
No comments
Post a Comment