Drama pasca pilihanraya ke-12


ALHAMDULILLAH dengan kejayaan Barisan Rakyat dalam PRU12 tempoh hari. Kejayaan ini adalah untuk rakyat Malaysia yang telah berani untuk membuat perubahan. Kejayaan juga datang bersama amanah dan tanggungjawab besar buat mereka yang terpilih.

Menguruskan kejayaan tidak mudah dan dengan ekspektasi yang tinggi dari rakyat, bebanan lebih besar untuk memastikan kejayaan ini bukan sekadar sementara. Kuasa yang berada di tangan bukan untuk kepentingan diri. Tentunya wakil-wakil rakyat dari BR tahu signifikan dari kemenangan bersejarah selepas 50 tahun kemerdekaan negara.

Lupakan sebentar kemenangan untuk peribadi kerana tanpa sokongan rakyat, tsunami politik 2008 tidak mungkin terjadi. Perebutan jawatan akan hanya menjadikan rakyat menyampah kerana sama sahaja antara wakil rakyat dari BN dan BR, semuanya mahu jawatan untuk kepentingan diri.

Buat kami penyokong BR di UAE, saat keputusan dari pengiraan undian merupakan antara kenangan tidak mudah dilupakan. Sebelum PRU12, kami sempat mengutip dana untuk membantu kempen sebagai sokongan untuk perubahan dalam politik tanahair.

Kami berkumpul di sebuah rumah sahabat dari petang dan mengikuti setiap laman web berita dan blog untuk mendapatkan keputusan terkini.

UAE adalah empat jam kemudian dari Malaysia dan seawal 4 petang kami sudah bersorak untuk mengetahui Pulau Pinang bukan lagi dibawah kerajaan BN! Sebelum berita yang Kelantan masih berada dalam naungan bulan mengambang.

Tidak heran kesemua laman web berita on-line tersangkut dengan jumlah hits yang tinggi. Satu demi satu berita gembira disamping kiriman SMS tidak berhenti menjadi sebahagian dari suasana yang cukup meriah. Seperti diduga, TV Malaysia lambat menyiarkan kekalahan BN di banyak negeri dan semua berada alam siber untuk keputusan terkini.

Memang tidak menjangka untuk lima buah negeri terlepas ke BR dan hanya satu kerusi wilayah bertahan di bawah BN. Bak kata BERSIH, sekiranya pilihanraya benar-benar bersih, telus, adil dan terbuka, BN tidak lagi kerajaan dan menjadi pembangkang. Boleh dibayangkan BN akan jadi porak-peranda dan banyak fail sulit akan hilang di pejabat-pejabat menteri dan MB!

Kami tidak lagi menyokong parti berdasarkan jenama PKR, PAS, DAP tetapi gagasan Barisan Rakyat dan setiap kemenangan PKR, PAS dan DAP adalah kemenangan rakyat, biar di mana mereka berada.

Sorakan dan jeritan dengan keputusan terkini disambut takbir dan tepukan di 'bilik gerakan' BR Dubai memberikan semangat. Tentunya kami lebih suka berada di tanahair untuk meraikan kejayaan bersama rakyat yang tidak lagi terpedaya dengan propaganda BN dulu, kini dan selamanya.

Begitupun, drama pasca PRU12 masih belum berakhir. Dengan kemelut di Perlis dan terkini di Trengganu memberi gambaran tentang perubahan lebih besar dengan Sultan menggunakan kuasa perlembagaan. Ini juga seolah-olah balasan terhadap bisingnya UMNO dalam isu 'kebiadapan Lim Kit Siang' apabila DAP dikatakan mahu memboikot majlis mengangkat sumpah MB Perak.

Kini UMNO pula yang mahu memboikot majlis yang sama di Trengganu! Apakah ini bukan kebiadapan dan keingkaran terhadap Sultan? Apakah Idris Jusoh ini terlalu hebat untuk diganti dengan seorang lain yang sama-sama satu parti UMNO?

Allah SWT Maha Berkuasa, BN yang melanjutkan tempoh khidmat pengerusi SPR dengan harapan untuk menawan Kelantan melalui strategi penipuan dsbnya, kini terumbang-ambing setelah gagal berkuasa dengan 2/3 majoriti seperti dijanjikan yang dengan bongkak.

Drama yang paling dinantikan dan klimaks siri peristiwa pasca PRU12 ialah sekiranya benar-benar ramai Ahli Parlimen BN akan melompat ke BR. Kami menanti BN menjadi pembangkang dan seorang Perdana Menteri yang lebih hebat untuk menerajui kerajaan Malaysia!

Semuga tahun 2008 memberikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang, terutama pendidikan, ekonomi dan sukan dibawah kegigihan dan keikhlasan para wakil rakyat BR yang terpilih untuk memegang amanah. Mungkin tidak terlalu awal untuk mengucapkan selamat tinggal kepada BN dalam nota kaki sejarah baru Malaysia dan untuk UMNO, Melayu boleh lebih berjaya tanpa kepimpinan 'ketuanan perut dan nafsu' yang sudah usang dan tidak relevan!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Sekarang beliau menulis untuk kolum Dubai Online 2.0 di portal berita KLpos.com. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya serta kerjadubai.blogspot.com)

No comments

Powered by Blogger.