Khairy enggan sertai Kabinet selagi Pak Lah jadi PM


KL: Naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak berminat dilantik sebagai menteri kabinet selagi bapa mertuanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.
"Saya tidak akan menyertai pentadbiran selagi Pak Lah jadi Perdana Menteri," katanya kepada media selepas mesyuarat exco pergerakan itu petang ini.
Tambahnya, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri sebelum hari penamaan calon lagi dan Abdullah bersetuju.
Khairy, yang menang di Rembau dalam pilihanraya umum baru-baru ini, tidak tersenarai dalam barisan kabinet yang diumumkan tengah hari tadi.
Sebagai pemegang jawatan kanan Pemuda Umno, ahli politik muda yang bercita-cita tinggi ini dijangka tersenarai sama ada sebagai menteri atau timbalan.
Jawatan setiausaha parlimen kali ini dimansuhkan bagi mengecilkan jumlah kabinet baru Abdullah - sekarang berjumlah 68 orang berbanding 90 orang pada penggal lepas.
Khairy berkata beliau sedia berkhidmat sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat. "Saya mahu berperanan sebagai anggota parlimen biasa," katanya.
Namun, beliau menyatakan minatnya untuk terus aktif dalam Pemuda Umno.
"Jawatan saya dalam Pemuda akan ditentukan oleh perwakilan. Jika mereka mahukan khidmat saya, saya akan teruskan," katanya, yang sering dikatakan berhasrat mengetuai pergerakan itu dalam langkah ke puncak kepemimpinan negara.

No comments

Powered by Blogger.