Siapa Lagi Yang Mahu IKUT JEJAK KHIR TOYO?
KHIR Toyo menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti oleh pemimpin Umno lain, apabila meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Umno dan BN Selangor malam Khamis lalu.Ia sebagai rasa tanggungjawab ekoran prestasi buruk BN di Selangor hingga menyebabkan negeri itu terlepas ke tangan pembangkang dari pakatan Barisan Rakyat (BR).Jika langkah penuh akauntibiliti itu dipraktikkan, setidak-tidaknya ahli-ahli Umno akan tetap menyanjung tinggi "pengorbanan" itu, kerana ia jarang-jarang dilakukan oleh pemimpin Umno.Ini terbukti sehingga kini, Pengerusi Umno Kedah dan Perak, barangkali juga Kelantan masih belum bersedia untuk melepaskan jawatan itu.Mereka masih berharap, kemenangan berpihak semula kepada mereka dan dilantik menjadi Menteri Besar semula. Tindakan Khir Toyo sebenarnya jauh lebih baik dari sikap Tajol, Mahadzir dan Annuar Musa.Ini amat berbeza dengan perletakan jawatan Radzi Sheikh Ahmad. Dia merajuk dan berkecil hati kerana tidak dilantik menteri kabinet dalam penyusunan semula kabinet anak Badawi.Radzi mungkin boleh dinobatkan sebagai pejuang dan seorang berhemah tinggi jika perletakan jawatannya itu atas rasa tanggungjawab seperti yang dilakukan oleh Khir Toyo di Selangor.Peluang Radzi meletakkan jawatan atas sebab demikian cukup luas kerana Umno di bawah penguasaannya atau pentadbirannya, satu negeri gagal dirampas dan empat negeri lagi terjatuh ke tangan BR.Ini tidak termasuk 10 kerusi parlimen di Wilayah Kuala Lumpur dikuasai BR dan hanya satu sahaja yang masih digenggam erat BN di Setiawangsa. Itupun menang kerana undi pos yang lebat!Radzi patut akur dengan kelemahan dan kejelekkan pentadbirannya itu. Jika dia "tinggi" politiknya, sekalipun anak Badawi tidak melantik menjadi menteri kabinet, sepatutnya alasan itu tidak dikemukakan.Dia patut meletak jawatan Setiausaha Agung Umno atas alasan rasa tanggungjawab dengan kekalahan teruk Umno-BN pada pilihan raya umum ke 12 lalu.Rafidah yang mengetuai Pergerakan Wanita Umno, pada mulanya didesas-desuskan akan meletak jawatan ketua wanita akhirnya menafikan. Dia enggan mengambil tanggungjawab itu, seperti yang diambil oleh Khir Toyo.Sebaliknya Rafidah memberi alasan akan terus mengekalkan jawatan Naib Presiden Umno atas kapasitinya Ketua Pergerakan Wanita dan sekaligus menerajui Wanita BN selagi khidmatnya dikehendaki.Sama ada itu niat sebenarnya atau bukan, pemerhati politik melihat, Rafidah akan menggunakan platform Pergerakan Wanita itu untuk "membalas dendam" terhadap Perdana Menteri.Ia berdasarkan komen-komen yang "menyakitkan hati" yang diluahkan Rafidah pada sidang media beliau di MITI Rabu lalu.Rafidah sebenarnya gagal menyembunyikan rasa tidak puashatinya terhadap anak Badawi, hingga mengeluarkan kata-kata yang boleh ditafsirkan sebagai "dendam" dan akan bertindakbalas selepas ini!Hisyamuddin Husein yang mengetuai Pergerakan Pemuda Umno pula gagal melihat isu sebenar perletakan jawatan Khir dan Radzi.Dia juga "buta politik" terhadap pengguguran menteri-menteri yang dilihat kononnya mereka menerima "pengguguran" itu dengan senang hati.Menteri Pelajaran itu menyifatkan mereka sebagai mengutamakan parti dari kepentingan peribadi. Benarkah dakwaan ini?Bagi saya, perletakan jawatan Khir Toyo ada asasnya tapi bukan kepada Radzi yang bersifat merajuk dan mementingkan diri sendiri.Begitu juga, menteri-menteri lain yang dipinggirkan termasuk Rafidah, sebenarnya "memberontak" tidak mahu digugurkan tetapi apakan daya, itu kuasa Perdana Menteri.Jadi siapakah yang beriya-iya merasakan dirinya sabit dengan kekalahan pada PRU 12 ini, jika hanya Khir Toyo seorang sahaja yang meletakkan jawatan.Benarkah ini?Bagaimana dengan Presiden Umno, Ketua-Ketua Perhubungan Umno, Ketua Wanita, Puteri dan Pemuda Umno?Mereka juga sebenarnya, pemimpin yang gagal bersama anak Badawi dalam mempertahankan "keangkuhan" Umno-BN sejak 50 tahun lalu. Enam negeri terlepas ketangan pembangkang!Pilihan raya kali inilah, baru fahaman karut-marut dan tahyul kononnya Umno-BN tidak boleh ditumbangkan dapat dipatah dan dibuktikan oleh rakyat...
No comments
Post a Comment