Khir Toyo serah tugas secara rasmi kepada Khalid Ibrahim


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Isnin secara rasminya menyerahkan tugas kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu majlis ringkas di Pejabat Menteri Besar di Bagunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.


Majlis menyerahan nota tugas itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud. Khalid, Khamis lalu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang diwakilinya bergabung dengan PAS dan DAP membentuk kerajaan baru apabila memenangi pilihan raya umum ke 12 pada 8 Mac lalu.


Sementara itu, dalam sidang media bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid menjelaskan, beliau akan mengkaji semula perjanjian antara kerajaan negeri dengan pemegang konsesi air di negeri itu sebelum melaksanakan pembekalan air secara percuma sebanyak 20 meter padu.


Katanya, kajian semula itu perlu untuk memastikan janji manifesto PKR dapat dilaksanakan untuk kemudahan penduduk negeri ini.


Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh sebenar pelaksanaan program itu berikutan terdapat beberapa perkara membabitkan perjanjian dan rundingan di antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi bekalan air.


Katanya perjanjian yang telah dibuat baru-baru ini antara Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan Selangor untuk membetulkan loji bekalan air juga menimbulkan tanda tanya.


"Terdapat ketidak seimbangan antara hasil yang diberi kepada negeri dan rakyat dan saya dapati ia memperkayakan orang yang mendapat konsesi iaitu PNHB. Oleh sebab itu saya akan membuat semakan mengenai perkara ini,"katanya.

No comments

Powered by Blogger.