Pelantikan Exco Johor: Asojan dipertikai

KUALA LUMPUR: Calon MIC bagi jawatan Exco Kerajaan Johor mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin akar umbi tatkala parti itu masih belum pulih sepenuhnya daripada dilema kehilangan 18 daripada 28 kerusi yang ditanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan selaku Ahli Exco bukan saja memberi kejutan di kalangan pucuk pimpinan MIC Johor, malah dipersoalkan pada peringkat pusat.Difahamkan, beberapa kumpulan dalam MIC Johor dan pucuk pimpinan tertinggi parti melobi supaya jawatan itu diberi kepada Adun Permas, M Munusamy, 59, yang juga Setiausaha MIC negeri.

Dalam pucuk pimpinan kerajaan negeri terdahulu, jawatan Exco tunggal bagi MIC dipegang Ketua MIC Johor, KS Balakrishnan, bekas Adun Permas yang tidak bertanding kali ini.


Kumpulan terbabit berpendapat Munusamy adalah pengganti paling cocok kerana beliau adalah pemimpin paling kanan dalam parti itu selepas Balakrishnan dan mendiang Datuk S Krishnasamy yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi. Asojan, 42, yang mempengerusikan Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, menyifatkan pelantikan yang diumumkan kelmarin itu sebagai sesuatu yang tidak disangka dan berikrar melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

"Saya berterima kasih kepada MIC dan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Johor atas keyakinan mereka terhadap keupayaan saya memegang jawatan ini. "Jawatankuasa ini akan membolehkan saya meningkatkan pembabitan golongan bukan Melayu dalam sektor awam, khususnya dari segi peluang pekerjaan, selain berusaha mengembalikan kepercayaan masyarakat umum terhadap BN. "Saya tidak melobi untuk jawatan ini tetapi berjanji tidak akan menghampakan kepercayaan MIC ataupun kerajaan negeri Johor," katanya yang juga Ketua Pemuda MIC Johor, ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sudah berbincang dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berhubung pelantikan itu dan sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri serta Sultan Johor.

Asojan, 42, menang kerusi DUN Gambir pada pilihan raya umum 2004 dan berjaya mempertahankannya pada 8 Mac lalu menewaskan calon Pas, Kassim Ibrahim. Ghani berkata, faktor usia dan hakikat hanya Asojan saja yang menjadi Adun untuk penggal kedua di kalangan empat Adun mewakili MIC menjadi asas utama pelantikannya. "

No comments

Powered by Blogger.