Baligh awal tingkatkan risiko kanser payu dara

SM Mohamed Idris
Fri | Mar 28, 08 | 12:45:36 pm MYT
Tubuh kanak-kanak hari ini matang dengan lebih cepat berbanding generasi terdahulu dan ini merupakan satu trend yang membimbangkan kerana baligh awal dikatakan meningkatkan risiko kanser payu dara di kalangan kanak-kanak perempuan dan kanser testis di kalangan kanak-kanak lelaki.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat berhubung perkara ini kerana penemuan lebih baru menunjukkan banyak faktor buatan manusia lain seperti pengeluaran racun makhluk perosak, bahan kimia dan hormon di dalam makanan, produk beracun, pencemaran alam sekitar dan faktor-faktor gaya hidup seperti pertambahan berat badan, kegemukan, kurang bersenam dan terlalu banyak menonton televisyen boleh mengubah masa mencapai akil baligh.

Dalam perkataan lain, kadar kematangan seksual yang dipercepatkan dalam kalangan kanak-kanak hari ini mungkin merupakan maklum balas kepada alam sekitar yang luar biasa.

Para penyelidik menggelar fenomena ini sebagai 'baligh begitu muda' (precocious puberty), satu keadaan baligh yang bermula pada usia muda yang luar biasa, yang sesetengah kajian menyatakan ia sedang meningkat.

Kematangan seksual awal menimbulkan risiko kesihatan serius, terutama kanser payudara, terhadap kanak-kanak perempuan di kemudian hari. Hubungan di antara baligh awal dan kanser payu dara adalah estrogen - hormon seks utama dalam kalangan wanita dan perlu bagi pusingan haid.

Estrogen adalah faktor risiko terbukti bagi kanser payu dara ? ia bertindak ke atas payu dara untuk menjadikannya mudah mengalami pembentukan tumor.

Kanak-kanak perempuan yang mengalami haid awal terdedah kepada lebih banyak estrogen berbanding kanak-kanak perempuan yang matang secara normal. Oleh itu mereka mengalami pendedahan kepada estrogen sepanjang hayat, yang telah ditunjukkan dalam kajian meningkatkan risiko kanser payu dara.

Kegemukan, tidak aktif, tekanan keluarga, imejan media, pendedahan kepada bahan kimia di rumah dan pendedahan kanak-kanak perempuan kepada bahan kimia secara tidak sengaja yang boleh mengubah masa kematangan seksual telah dihipotesiskan sebagai pencetus bagi baligh awal di kalangan kanak-kanak.

Menurut kajian, antara faktor yang mempercepat proses baligh termasuklah yang berikut:

* Paras lemak tubuh lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

* Hormon dalam makanan.

* Racun makhluk perosak dalam pengeluaran.

* Ftalat dalam plastik dan kosmetik.

* Tekanan meningkat dalam keluarga akibat perceraian dan ibu bapa tunggal.

* Terlalu banyak menonton televisyen.

Baligh awal dalam kalangan lelaki juga boleh meningkatkan kejadian kanser testis, mengurangkan kesuburan dan melemahkan pertumbuhan, yang menyebabkan ketinggian lebih rendah.

Seorang penyelidik baligh begitu awal, Dr Marcia Herman-Giddens, Profesor Kesihatan Ibu dan Anak di Universiti Carolina Utara berkata: "Ia mungkin tidak sihat memandangkan kajian lebih awal telah menunjukkan lebih cepat seorang budak lelaki mula baligh, lebih tinggi risiko menghidap kanser testis, begitu juga kanak-kanak perempuan yang matang awal mengalami risiko lebih tinggi menghidap kanser payu dara."

Sehubungan penemuan kajian ini, CAP menggesa Kementerian Kesihatan serta semua pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani masalah ini.

Penulis adalah Presiden CAP. - lanh

No comments

Powered by Blogger.