Jangan sampai amanah disia-siakan

Badan atau institusi berkenaan Islam perlulah dipimpin oleh mereka yang bukan hanya layak dan berpengalaman tetapi lebih-lebih lagi berakhlak sebagaimana akhlak yang dikehendaki oleh Islam. Allah swt berfirman di dalam al Quran (an Nisa: 58) yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)......

Rasulullah saw bersabda:
"Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran". Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: "(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran!".

Orang yang layak tetapi tidak mampu menzahir atau menjelmakan akhlak Islam di dalam jiwa dan diri peribadinya hanyalah akan mencacatkan badan atau institusi Islam yang dipimpin itu. Kerana itu kelayakan tadi perlulah seiiring dengan akhlak keperibadian Islam yang mulia, barulah Islam yang dijunjung oleh badan dan institusi tadi terpelihara.

Semalam Presiden UIAM Tan Sri Sanusi Junid diberhentikan walaupun masih mempunyai kontrak 2 tahun di IPT Islam itu. Sanusi difahamkan diambil tindakan demikian kerana mengisytiharkan diri keluar Umno dan menyokong bekas PM Tun Dr Mahathir. Itu masalah antara Dollah dan Sanusi, tetapi mengapa dengan tergesa-gesa kerajaan melantik Ketua Setiausaha Negara, yang masih berkhidmat menggantikan Sanusi?

Apakah sudah tidak ada tokoh yang lebih layak, yang memiliki latarbelakang dan akhlak Islam untuk memegang jawatan penting itu? Sejauh manakah komitmen Sidek Hassan (KSN) dalam memartabatkan Islam dan pendidikan tinggi Islam?

Demikian juga di Selangor apabila kita mendengar seorang tokoh korporat dilantik mengetuai institusi zakat negeri. Memang kita perlukan seorang yang berkelayakan dan berpengalaman duduk di institusi berkenaan, tetapi padankah dengan latabelakang korporat semata-mata tanpa latarbelakang dan ilmu Islam? Apakah tidak ada tokoh korporat atau seumpamanya yang memiliki kedua-dua kelayakan dan pendedahan Islam?

Kita harapkan semua pihak prihatin dan sensitif tentang perkara yang melibatkan Islam ini, beban amanahnya bukan sekadar di dunia malah akan berlanjutan sehingga akhirat.
roslan sms

No comments

Powered by Blogger.