Minyak Naik, Rakyat Naik Minyak, Mahasiswa Naik...?!!


Mohd Faisal Bin Mustaffa

Ketua Penerangan Gamis

Pagi tadi selepas balik daripada menyelesaikan kes di Mahkamah, saya bercadang untuk menulis berkaitan dengan ura-ura kenaikan harga minyak yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada petang ini. Namun begitu saya hanya pendamkan sahaja niat tersebut memandangkan ianya perkara yang belum pasti. Kebetulan pula kerja-kerja yang bertimbun yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.

Namun begitu, kira-kira jam 6.15 petang tersirap darah muda saya apabila membaca berita kenaikkan harga minyak yang melampau. Menurut laporan tersebut, harga petrol dinaikkan RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa mulai esok. Ia merupakan kenaikan harga hampir 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang. Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 seliter daripada RM1.58 sekarang. Aduh, makin berat bebanan perbelanjaan.

Penguatkuasaan kenaikkan ini sekali lagi menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah menteri yang seolah-olah mahu menipu rakyat. Di dalam akhbar utusan online pagi tadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menegaskan bahawa kenaikan harga minyak tidak akan berkuat kuasa serta-merta seperti yang dilaporkan sebelum ini. Kenyataan menteri tersebut jelas bercanggah dengan pengumuan yang dibuat pada hari petang tadi. Mungkin sesetengah pihak menganggap kenyataan tersebut merupakan kenyataan peribadi beliau, namun begitu saya merasakan ianya tidak wajar dikeluarkan kerana seolah-olah mempermain-mainkan rakyat.

Kenaikkan ini secara tidak langsung akan menambah kesengsaraan kepada rakyat jelata khususnya yang berpendapatan rendah. Walaupun kerajaan mencadangkan untuk menjalankan sistem subsidi berbentuk rebet, tetapi saya melihat ianya bukanlah suatu langkah yang praktikal. Hal demikian kerana kenaikkan ini akan menyebabkan harga barangan dipasaran akan melambung naik seterusnya memberikan tekanan kepada rakyat terutamanya yang tinggal dibandar besar.

Golongan mahasiswa tidak terkecuali terkena tempias ini. Di saat-saat mahasiswa tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya kampus-kampus yang berada dibandar besar. Kenaikkan ini sekali lagi menyusutkan lagi pemikiran mereka. Bagi yang berlatarkan belakangkan keluarga yang sederhana, hidup mereka hanya berbekalkan wang pinjaman PTPTN semata-mata. Sudahlah tidak pernah dikaji kenaikannya, menyebabkan golongan ini terus dibiarkan tanpa sebarang pembelaan. Isu bayaran 3 peratus PTPTN belum selesai, dibebankan lagi dengan kenaikkan harga minyak ini. Mungkin mahasiswa kini akan terus biol memikirkan nasib mereka selepas bergelar seorang graduan.

Mungkin sesetengah pihak melihat perkara ini secara positif, namun begitu sejauh mana nasib rakyat kita akan terbela sekiranya semua pihak berpendapat sedemikian. Dasar itu baik, dasar ini baik. Akhirnya nasib rakyat yang tidak terbela. Di jangkakan kenaikkan harga minyak ini akan menyebabkan sesetengah golongan masyarakat yang akan naik minyak. Namun begitu masih ramai lagi yang mengangguk umpama belatuk menunjukkan persetujuan.

Begitu juga golongan mahasiswa, hanya segelintir sahaja yang akan "naik minyak" apabila mengetahui hal ini. Kebanyakkan daripada mereka akan menyokong bulat-bulat kenaikkan ini kerana masih lagi dijangkiti sindrom "Aku Tidak Pedulisme". Itulah mahasiswa generasi kelahiran era AUKU ini. Sudahlah ditindas, masih lagi berrdiam diri tanpa memperjuangkan hak mereka. Fikir-fikirkan

No comments

Powered by Blogger.