Antilla : Rumah Termahal di dunia bernilai RM6.6 billion
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
KOS pembinaan rumah jutawan petrokimia India, Mukesh Ambani setinggi 27 tingkat di Altamount Road, Mumbai melampaui belanjawan membina hotel ternama dan dikenal pasti rumah termahal di dunia. ‘Istana’ yang dinamakan Antilla itu dijangka siap awal tahun depan.
Rumah termahal dunia
Mukesh Ambani bakal menggaji 600 pekerja bagi membersih dan menyelenggara kediaman mewah 27 tingkat
NITA Ambani bukan sembarangan wanita, dia adalah isteri jutawan petrokimia tersohor Mumbai sekali gus peneraju Reliance Industries, Mukesh Ambani. Sehingga Mac tahun ini, Mukesh dengan anggaran aset RM142 bilion (AS$43 bilion) dinobatkan laman web Forbes lelaki kelima terkaya di dunia.
Sebagaimana wanita lain di dunia, Nita cukup bertuah kerana suaminya sanggup membina kediaman mewah dan selesa 27 tingkat bernilai RM6.6 bilion (AS$2 bilion) buat diri dan tiga anaknya.
Tanggungjawab membina rumah impian Nita dan suaminya itu diamanahkan sepenuhnya kepada firma arkitek Perkins + Wills and Hirsch Bedner yang sebelum ini diakui kebolehan mereka melalui pembangunan Mandarin Oriental Dallas dan Los Angeles.
Pengarah Pemasaran Hirsch Bedner Associates, Thomas Johnson, berkata arkitek dan juru hias dalamannya bertungkus lumus menyiapkan pelan lantai, memikirkan reka bentuk seterusnya menentukan konsep serta tema bangunan.
Pembinaan kediaman mewah di Altamount Road, Mumbai di atas tapak tanah seluas 4939.81 meter persegi bermula penghujung 2006 dan dijangka siap untuk diduduki pada September 2008.
Bangunan pencakar langit seperti istana itu digelar Antilla bersempena nama sebuah pulau sarat mitos. Kos pembinaannya melampaui belanjawan membina hotel ternama dengan setiap tingkat ditampilkan ukuran, bahan dan struktur seni bina berbeza meliputi lantai, lampu, pintu, bingkai tingkap dan sebagainya.
“Sekiranya aras sembilan menitipkan kemasan logam dan kayu disulami sentuhan kristal, tingkat 11 tidak akan mengetengahkan unsur itu lagi. Ini permintaan Nita yang mahukan pertembungan konsep dengan elemen seni bina bagi ruang konsisten tanpa ada pengulangan gaya,” kata pakar hiasan dalaman Hirsch Bedner Associates.
Struktur seni bina berkenaan dibentuk menerusi prinsip Vaastu yang boleh disamakan dengan feng shui. Matlamat utamanya untuk mendapatkan aliran pergerakan sihat ruang berpandukan susun atur strategik bilik, objek dan kemasan.
Kuarters keluarga yang memuatkan sebuah lobi dan menghimpunkan sembilan lif, beberapa bilik penyimpanan serta ruang bersantai terletak di aras tujuh selepas enam tingkat tempat meletak kereta untuk 170 lot parkir. Sebaik menuruni dua sayap tangga dengan selusur bersepuh perak, tetamu bertemu dewan tari menari berhias siling kristal.
Ruang ini menjadi wadah seni menerusi sisipan monitor LCD lengkap sistem pembesar suara selain dibina sebuah pentas pertunjukan.
Sesuai statusnya sebagai usahawan ternama, Mukesh sering menganjurkan majlis korporat di kediamannya. Namun, pandangan isteri dan anak-anak yang menginginkan gaya penataan menggambarkan akar umbi bangsa tidak diabaikan.
Buktinya, sinki yang dibina memanjang dari ruang santai berlanjutan ke ruang hiburan dilengkapi pawagam dan stor wine direka menyerupai daun gingko, spesies tumbuhan yang dekat dengan masyarakat India. Saliran paipnya menampilkan rekaan mirip batang daun yang ‘menjalar’ hingga ke sinki.
‘Health level’, aras yang dikhususkan untuk sukan dan riadah menempatkan patio, kolam renang, gimnasium dan studio yoga. Pasangan Ambani memenuhi kawasan patio dengan pelbagai spesies pokok tempatan.
Aras ini juga menyediakan bilik berais khusus kegunaan penghuni dan tetamu melarikan diri dari bahang cuaca kota Mumbai. Menariknya, bilik sejuk ini menawarkan pengalaman berada di negara empat musim apabila disertakan hujan salji buatan manusia.
Pada ketika cuaca nyaman, Ambani sekeluarga berpeluang menghirup udara segar yang ditawarkan empat tingkat landskap terbuka. Kayu yang menguatkan alang dan menyokong dua pertiga bahagian atas bangunan berbentuk ‘W’ mengilhamkan atrium terbuka untuk taman dan halaman.
Landskap hidroponik dan pokok bersifat kekal elemen paling rumit direalisasikan namun kewujudannya didorong dengan sebab. Keupayaan tumbuh-tumbuhan menyerap cahaya matahari dimanfaatkan menjadi sumber tenaga yang boleh diubahsuai merujuk keperluan. Menerusinya, suasana kediaman pada musim panas boleh menjadi dingin manakala ketika cuaca sejuk, suhu menyamankan tubuh.
Empat tingkat teratas dijadikan ruang peribadi Ambani sekeluarga termasuk ibunya, Kokilaben. Istimewanya ruang ini kerana menampilkan pemandangan Laut Arab dan seluruh kota Mumbai.
Menurut Penolong Jurutera BMC, syarikat yang bertanggungjawab mereka pelan cadangan bagi pembinaan bangunan ini, kira-kira 600 pekerja bakal digajikan Mukesh bagi membersih, menjaga dan menyelenggara kediamannya.
Di sebalik nama Antilla
Antilla atau Antillia adalah pulau puaka yang dipercayai berada di tengah Lautan Atlantik di barat Sepanyol. Nama lain pulau mistik ini adalah Isle of Seven Cities, Ilha das Sete Cicades (bahasa Portugis), Septe Cicades, Sanbrandan atau St Brendan dan sebagainya.
Nama asalnya tidak diketahui. Etimologi tertua dikeluarkan pada 1455 menghubung-kaitkan nama itu dengan platonik Atlantis, manakala versi terkemudian mengaitkannya dengan Jezirat Al Tenny, “Pulau Naga”, disebut Pulau Naga oleh ahli geografi Arab.
Legenda pulau bermula pada 74 Tahun Masihi apabila Quintus Sertorius, komander tentera dan konsulat Sepanyol yang baru pulang dari medan pertempuran Mauretania (Utara Maghribi) bertemu kelasi berpengalaman singgah di pulau Atlantik.
Teruja dengan cerita kelasi berkenaan, Sertorius memasang tekad mencari pulau terbabit sebelum mengambil keputusan menetap di situ.
Fakta Menarik Antilla
- Merujuk pelan, bangunan ini menawarkan ketinggian 173.12 meter bersamaan ketinggian bangunan 60 tingkat. Namun, disebabkan Antilla memperuntukkan 27 tingkat, ini bermakna setiap arasnya dilengkapi siling berketinggian lebih tiga meter daripada ukuran sepatutnya.
- Enam tingkat tempat meletak kereta bakal memuatkan 170 kereta import tuan rumah. Turut disediakan pusat servis kereta yang ditempatkan di aras tujuh.
- Tingkat lapan mengandungi pusat hiburan lengkap mini pawagam dengan kapasiti 50 orang pada satu masa.
- Dua tingkat di atas ‘health level’ menempatkan unit pangsapuri berdinding kaca untuk penginapan tetamu.
- Dua tingkat di atas kediaman keluarga diperuntukkan sebagai kawasan penyelenggaraan. Di atasnya pula, disediakan ‘ruang udara’ berfungsi sebagai bilik kawalan untuk helikopter mendarat.
4 Lagi kediaman termewah pada masa ini
ANTILLA, ‘istana’ Mukesh Ambani mengungguli senarai kediaman termahal di dunia hanya selepas ia siap dibina pada Januari 2009.
Sehingga detik itu, empat kediaman yang menjadi sebutan seluruh dunia ialah;
Villa La Leopolda
Nilai semasa: RM1.6 bilion
KEDIAMAN Roman Abramovich, pemilik kelab bola sepak Chelsea, diisytiharkan yang termewah di dunia kerana dibeli dengan harga RM1.6 bilion.
Keputusan membeli villa di atas bukit mengadap French Riviera itu dibuat selepas jutawan Russia itu terpaut dengannya ketika bersiar-siar di kawasan berkenaan bersama teman wanitanya, Daria Zhukova.
Villa berwarna krim bergelar La Leopolda itu bukan saja dikenali kerana panorama menakjubkan laut selatan Perancis, tetapi juga terletak di kawasan kaya alam semula jadi selain di kawasan itu turut dibina rumah peranginan Villefranche.
Seramai 50 tukang kebun diupah untuk menyelenggarakan landskap seluas 8 hektar yang ditanam dengan 1,200 pokok saru, zaitun, limau dan lemon.
Pemilik sebelumnya termasuk tokoh perbankan terkemuka mendiang Edmund Safra; pengasas Microsoft, Bill Gates dan hartawan perusahaan kereta Fiat, Gianni Agnelli.
Asalnya, villa ini dibina untuk perempuan simpanan Raja Belgium, King Leopold II. Namun, pada 1916 ketika perang dunia pertama, anak saudara juga pewarisnya, King Albert I mengubah fungsi kediaman itu menjadi hospital pegawai tentera yang cedera dalam pertempuran.
Setiap bulan, Abramovich perlu membayar kira-kira RM94 juta untuk gadai janjinya.
Ini bukan kali pertama dia membeli hartanah kerana sebelum ini, dia turut memiliki Chateau de la Croe yang terletak tidak jauh dari La Leopolda, bernilai RM94 juta. Kediaman ini dulunya dihuni bekas monarki British, Duke of Windsor yang melarikan diri dengan Wallace Simpson pada 1938.
Abramovich juga pemilik hartanah di Knightsbridge, Sussex dan Russia.
Updown Court Windlesham
Lokasi: Surrey, England
Nilai semasa: RM458 juta
Luas kediaman: 60,000 kaki persegi
DITAWARKAN untuk jualan pada 2005. Kediaman 103 buah bilik yang dibina di atas tanah seluas 23.2 hektar ini menyajikan panorama berlandskap dan hutan kecil.
Terletak di pinggir desa yang menampilkan pemandangan alam semula jadi, kelebihan ini mengundang fantasi buat penghuninya terutama yang mengimpikan kehidupan cerita dongeng kanak-kanak.
Selain lobi dan dewan tari-menari yang tersergam indah, rumah agam ini turut menyediakan bilik panik, sebuah gelanggang skuasy, sebuah pusat boling, lapangan helikopter mendarat, pawagam memuatkan 50 penonton, garaj bagi lapan limosin manakala laluan masuk ke rumah dilitupi marmar sekali gus menguatkan lagi ciri mewahnya.
Dua puluh dua daripada 103 bilik adalah bilik tidur dilengkapi kamar mandi berkemasan jubin.
Starwood/Hala Ranch
Lokasi: Aspen, Colorado, Amerika Syarikat
Nilai semasa: RM448 juta
Luas kediaman: 56,000 kaki persegi
DIILHAMKAN daripada perkataan Arab ‘Ahalan’ yang bermaksud selamat datang, Hala Ranch yang juga dikenali sebagai Starwood Ranch adalah kediaman terbesar di barat Amerika Syarikat dan kedua terbesar seluruh dunia.
Sebelum ini, Hala Ranch milik duta Arab Saudi yang ditugaskan di Amerika Syarikat, Putera Bandar bin Sultan. Namun, kini terpaksa dijual kerana putera itu menjawat jawatan baru sebagai kaunselor keselamatan negara di tanah airnya, Arab Saudi.
Menakjubkan kerana luas bahagian tengahnya saja mampu menyaingi ukuran Rumah Putih. Kediaman ini menawarkan 15 bilik tidur dengan setiap satunya berkembar patio bersama 16 bilik air.
Lif dibina bagi pengunjung menjelajah seisi rumah yang ditunjangi hiasan dalaman dan kemasan daripada kayu mahogani, gangsa selain tingkap kaca berwarna.
Bilik tetamu dibina bersambung dengan taman dalam rumah yang mengandungi kolam renang dan air terjun buatan selain diberi jaminan keselamatan menerusi sistem penggera canggih.
Maison de L’Amitie
Lokasi: Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat
Nilai semasa: RM415 juta
Luas kediaman: 43,000 kaki persegi
RUMAH agam ini dibeli Donald Trump pada 2004 dalam satu lelongan dengan harga RM136 juta. Pemilik asalnya ialah bekas eksekutif kesihatan, Abe Gosman.
Kediaman mengagumkan ini menawarkan dewan tari-menari, rumah pemuliharaan (konservatori) selain sebuah kolam renang sepanjang 100 kaki.
Trump menetapkan harga jualan semula sejumlah RM125 juta. Matlamatnya ialah memecahkan rekod syarikat hartanah Ron Perelman yang berjaya menjual rumah termahal di Palm Beach Florida pada 2004 dengan nilaian RM232 juta.
pesanan- membaca cerita rumah-rumah termahal ini, sedikit pun hati ini tidak rasa cemburu dengan nikmat dunia itu. Mereka sangat kaya, hinggakan anak-anak mereka selepas ini tidak bekerja pun tidak apa.
Bagi sesetengah orang, pastinya akan cemburu. Bagi yang muslim pasti lagi sakit hati kerana pemilik rumah itu semuanya bukan Islam. Tidak mengapalah. Itu apa yang mereka boleh dapat didunia. Akhirat kelak, tiada siapa yang boleh memikirkan nilai syurga yang Allah janjikan untuk mereka yang mengucap dua kalimah syahadah.
Di dunia ini mereka kena gajikan beratus-ratus pekerja dan bayar cukai yang tinggi untuk maintain bangunan tu. Diakhirat nanti semuanya percuma. Allah bagi free jer kat kita.
Kita mungkin dianggap bermimpi atau gila jika kita berangan menginginkan harta sebanyak hartawan dunia ini dalam riwayat ini. Ramai yang kata mustahil, sedikit yang kata tidak. Hanya Allah yang tentukannya.
Tapi ketahuilah bahawa tiada siapa yang akan anggap kita gila jika kita beramal untuk jadi orang kaya diakhirat kelak. Bersyukurlah dengan nikmat teratak yang Allah beri sekarang kerana dengan bersyukur itu hati kita akan jadi tenang dan berbahagia hingga ke akhirat.
No comments
Post a Comment