Anwar hargai komiten PAS perkukuh Pakatan Rakyat

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.
Iklan




Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.

Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.

Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.

Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.

"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya._

No comments

Powered by Blogger.