Anwar sanggah fitnah, puji jentera kempen PAS

PERMATANG PAUH, 20 Ogos (Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim membidas dengan tegas fitnah bahawa kononnya PAS tidak bersama membantu kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh yang sedang berlangsung semenjak 16 Ogos lalu. Iklan



Ini termasuk manipulasi media yang cuba menggambarkan hubungan retak antara KeADILan dan PAS lanjutan perbahasan perwakilan Muktamar PAS yang ke-54 di Ipoh baru-baru ini.

"Di Permatang Pauh ini sendiri sebenarnya mereka fitnah kononnya PAS tidak membantu kempen sedangkan kalau tengok jentera bantuan ketara sekali dan kerjasama PAS cukup baik.

"Dalam satu majlis baru-baru ini ramai pemimpin PAS datang. Saya katakan kepada pemimpin Umno bahawa inilah sokongan yang PAS berikan, tetapi ini tak dilaporkan oleh media arus perdana," katannya ketika diwawancara Harakah secara eksklusif petang semalam di Bangunan Yayasan Aman di Permatang Pauh.

Katanya media milik Umno sudah tentunnya memperbesarkan pandangan dalam muktamar PAS yang berlaku malah tidak terkecuali dalam kongres KeADILan dan DAP yang akan datang seolah-olah KeADILan di Kedah dan Perak merasa tidak puas hati dengan kerajaan negeri untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

"Seperti juga PAS di Pulau Pinang yang tidak puas hati kepada kerajaan negeri, ini soal biasa yang bukan isu besar yang boleh sebabkan ketegangan, namun ini dilaporkan oleh media arus perdana untuk mencetus kemelut kononnya.

"Isu ini sebenarnya isu yang boleh dirundingkan dan pandangan mereka yang tidak berpuashati itu hanyalah sekadar pandangan mereka dan ini bukanlah mewakili parti secara keseluruhannya," katanya.

Soal adanya kritikan dalam muktamar PAS baru-baru ini adalah terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan parti dalam pakatan dan beliau menyifatkan kekeliruan yang timbul itu sebab wujudnya kerja fitnah akhbar arus perdana, kata Anwar

"Kalau tengok Nik Aziz telah memberi penegasan terhadap sokongan kepada Pakatan Rakyat di sini dan datang pada hari penamaan calon.

"Selain itu kalau dengar doa oleh Ketua Dewan Ulama, Ustaz Mohd Daud Iraqi, dia berdoa sangat kuat supaya kerjasama dalam pakatan semakin kuat, ini satu signal yang jelas bagi saya, cara mereka hormati kami dalam muktamar cukup baik tetapi media tak perbesarkan," katanya mengakhiri perbualan memandang terpaksa bergegas ke aktiviti selanjut bertemu masyarakat.-az_

No comments

Powered by Blogger.