Ar-Rahn bayar semua kerugian pelanggan

KOTA BHARU: Permodalan Kelantan Berhad (PKB), agensi kerajaan negeri yang mengendalikan pajak gadai Islam Ar-Rahn Satu, akan menampung semua kerugian yang dialami pelanggannya berikutan kecurian di pajak gadai itu, semalam.

Pengarah Eksekutif PKB, Wan Yahya Wan Salleh, berkata pembayaran dibuat setelah senarai nama pemajak dapat diperoleh melalui sistem komputer yang kini tertangguh akibat kejadian itu.

“Wang baki dari jumlah nilai yang digadai akan dipulang kepada semua pelanggan selepas dua minggu setelah senarai nama mereka dapat dikeluarkan dari komputer,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, beberapa pencuri menebuk bahagian atas bangunan tiga tingkat yang menempatkan pajak gadai itu dan melarikan sejumlah besar barang kemas.

Wan Yahya berkata jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Beliau berkata semua urusan gadaian boleh dilakukan di Ar-Rahn Dua dan Ar-Rahn Wakaf Che Yeh, di sini.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninjau premis itu, berkata beliau mendapati rompakan itu dilakukan oleh penjenayah profesional.

Pagi ini, pajak gadai itu diserbu ramai pelanggannya yang ingin mengetahui mengenai ganti rugi kepada mereka.

“Saya pun dah takut nak simpan emas di sini lagi kerana tahap keselamatannya rendah,” kata Wan Azizah Wan Rashid, 47. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.