Annuar Musa, Awang Adek kekal ketua bahagian Umno

BACHOK: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin hari ini mengekalkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian masing-masing, selepas kedua-dua tidak dicabar untuk ke jawatan itu.

Annuar diumumkan Ketua Umno Bahagian Ketereh tanpa dicabar selepas 128 daripada 130 cawangan di bahagian berkenaan mencalonkan beliau untuk terus kekal sebagai ketua.

Annuar dalam satu kenyataan berkata, beliau bersyukur dan amat berterima kasih dengan kepercayaan dan persetujuan oleh semua cawangan untuk terus kekal bersama kepemimpinannya.

“Saya bersyukur kerana semua cawangan mencalonkan semula saya sebagai ketua bahagian sejak tahun 1987 lagi,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat di bahagian berkenaan kali ini juga menyaksikan tiada perebutan bagi semua jawatan utama Puteri dan Wanita Umno.

Selain itu katanya Umno bahagian Ketereh juga menyatakan persetujuan dan memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus kekal sebagai Presiden Umno.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Bachok apabila semua 151 cawangan yang selesai mengadakan mesyuarat semalam mencalonkan nama beliau sebagai ketua bahagian bagi tempoh 2008-2011.

Turut menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Dr Ilias Hussain yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat.

Setiausaha Umno Bahagian Bachok Daud Idris ketika ditemui di sini hari ini berkata Awang Adek yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok berjaya mengekalkan jawatan itu yang dipegang beliau sejak tahun 2003.

Seramai 40 anggota Umno, termasuk golongan muda menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi jawatan 20 ahli jawatankuasa Umno Bahagian itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.