Dewan Ulama setuju PAS tidak sertai Pakatan Rakyat

IPOH: Dewan Ulama PAS menyokong penuh pendirian parti itu untuk tidak menyertai kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mungkin dibentuk pada 16 September jika pembelaan terhadap Islam tidak terjamin.

Ketua Penerangannya, Nik Zawawi Salleh berkata, PAS lebih rela berseorangan daripada menyertai mana-mana kerajaan yang tidak membela agama Islam.

Berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden, beliau berkata tidak ada makna bagi PAS bersama-sama memerintah kerajaan pusat jika tidak boleh memperjuangkan syiar Islam.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat mesti memastikan bilangan anggota Parlimen beragama Islam lebih ramai daripada bukan Islam jika berlaku pertukaran kerajaan Persekutuan.

"Dewan Ulama bersetuju dengan pandangan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bahawa PAS perlu tegas memperjuang Islam selepas kita memerintah. Kalau pertukaran kerajaan berlaku dan Islam tidak dibela, PAS lebih rela berseorangan," katanya.

Katanya, PAS juga turut mempunyai pelbagai alternatif lain dalam menentukan perjalanan politik sekiranya pembelaan Islam itu tidak dijamin.

Dewan Ulama juga, katanya, berdiri teguh bersama-sama Majlis Syura Ulama atas keputusan muqabalah dengan UMNO kerana ia satu perkara yang mustahak.

Bagaimanapun, isu Pakatan Rakyat serta muqabalah dengan UMNO perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti itu, katanya.

Nik Zawawi berkata, selepas pilihan raya umum lepas, kumpulan bukan Islam kini semakin berani membuat pelbagai permintaan dan desakan yang mencabuli kontrak sosial.

Beliau berkata, jika PAS hendak memerintah kerajaan Persekutuan bersama-sama parti Pakatan Rakyat, kepimpinan PAS mesti memastikan Anggota Parlimen Islam adalah majoriti di Dewan Rakyat bagi memartabatkan daulah Islamiyah. BERNAMA

  • Presiden PAS jamin bincang dengan parti capai keputusan
  • Belum ada ketua dalam Pakatan Rakyat - Hadi
  • Perwakilan ragui Kelab Penyokong PAS
  • Pemimpin tertinggi PAS perlu sekata, amalkan intelektual
  • PAS tidak mahu jalin kerjasama dengan 'parti berpenyakit', tubuh Muktamar Khas jika perlu
  • Ibrahim Ali: Budaya tidak sihat Umno menular ke PAS
  • Siapa layak jadi PM Pakatan Rakyat: Anwar atau Hadi?
  • Anwar hormati pandangan PAS berhubung bakal PM
  • No comments

    Powered by Blogger.