Terpantas di dunia

Usain Bolt dari Jamaica (tengah) meraikan kejayaan memenangi acara akhir 100 meter Olimpik lelaki sekali gus memecahkan rekod dunia dengan catatan 9.69 saat di Stadium Nasional Sarang Burung, Beijing, semalam.
- Reuters


BEIJING - Bintang pecut Jamaica, Usain Bolt menjadi lelaki terpantas di dunia apabila merangkul pingat emas 100 meter Sukan Olimpik selain catatan baru rekod dunia dengan mencatat kepantasan 9.69 saat, semalam.

Jaguh muda berusia 21 tahun itu memberikan kejuaraan Olimpik pertama Jamaica dalam acara reben biru tersebut selepas memadam rekod lama dunia miliknya sendiri, 9.72s yang dibuat di New York, Mei lalu.

Richard Thompson dari Trinidad and Tobago membawa pulang pingat perak dengan catatan masa 9.89s, manakala pelari Amerika Syarikat, Walter Dix dengan 9.91s meraih gangsa.

Bekas pemegang rekod dunia yang juga rakan senegara Bolt, Asafa Powell terus tenggelam di pentas utama selepas sekadar menduduki tangga kelima.

"Saya datang ke sini hanya untuk menang, itu sasaran utama saya. Saya langsung tidak terfikir tentang rekod dunia, sehinggalah saya melakukannya hari ini,'' kata Bolt.

Kemenangan semalam memang amat menggembirakan, namun Bolt menegaskan tugasnya belum berakhir kerana tumpuan kini tertumpu pula kepada acara 200m.

Bagi Asafa, yang terus gagal menyerlah pada kejohanan utama, kakinya agak kaku dan gagal memberi larian yang baik, namun dia tumpang gembira dengan kejayaan Bolt.

"Memang saya mahukan pingat emas tetapi nampaknya saya belum bersedia. Saya sangat gembira dengan kejayaan Usain, dia mempamer larian yang amat menakjubkan,'' kata Powell.

Sementara itu juara dunia yang sebelum ini disebut sebagai antara calon utama untuk memenangi acara 100m, Tyson Gay dari Amerika Syarikat, mengharungi detik paling mengecewakan apabila gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir.

Gay sekadar menduduki tangga kelima dalam separuh akhir kedua, sekali gus memusnahkan impiannya untuk mencabar Bolt dan Powell di saingan akhir.

Pada ketika Bolt berpeluang menggandakan kejuaraan dalam acara kegemarannya, 200m, Gay sebaliknya hanya mampu berharap untuk mencari emas dalam kuartet 4x100m kerana dia tidak akan beraksi dalam perlumbaan 200m.

- Reuters

No comments

Powered by Blogger.