Tuan Guru Nik Aziz tegaskan sumpah Saiful cara Kristian

IPOH, 17 Ogos (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat menafikan laporan yang dipaparkan dalam akhbar arus perdana hari ini, bahawa Saiful Bukhari Azlan bersumpah dengan cara Islam.
Iklan




Dalam sidang media sempena Muktamar PAS di Stadium Indera Mulia dekat sini, Ustaz Nik Aziz menegaskan, sumpah menggunakan al-Quran bercanggah dengan Islam.

Katanya, apa yang dibuat Saiful dua hari lepas, menyamai apa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian yang bersumpah menggunakan Bible.

Tegasnya, Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Menteri Besar Kelantan itu juga menempelak Umno yang mempercayai bersumpah dengan cara menggunakan al-Quran.

Katanya, sumpah juga tidak perlu dibuat dalam masjid kerana ianya sama seperti ajaran Kristian yang bersumpah di gereja.

Katanya, orang Islam tidak perlu bersumpah di masjid, sebaliknya boleh bersumpah di mana-mana sahaja asalkan ianya sumpah yang menepati Islam.

Beliau juga hairan mengapa Umno menerima sumpah Saiful dan terikut-ikut dengan amalan agama yang bercanggah dengan Islam.

Ustaz Nik Aziz juga mempertikaikan motif sebenar Saiful bersumpah menjelang hari penamaan calon Permatang Pauh, yang katanya mempunyai maksud yang tersirat.

Beliau amat berharap pengundi-pengundi Melayu yang beragama Islam tidak terpengaruh dengan propaganda media yang memanipulasi sumpah Saiful.

"Saya berdoa dan berharap Dato' Seri Anwar diberikan kemenangan," ujarnya. _

No comments

Powered by Blogger.