Realiti di sebalik kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim
Menyentuh isu 10 peratus bukan bumiputera belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagaimana cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, saya berpendapat, menteri besar itu tidak ada kuasa untuk mempastikan ianya perlu direalisasikan.
Ini kerana UiTM bukan milik kerajaan Selangor, ia adalah di bawah kuasa Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekali gus berada di bawah kuasa Kerajaan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN).
Walaupun Tan Sri Abdul Khalid mengharapkan ia direalisasikan bagi melihat UiTM mempunyai daya saing di peringkat global tetapi peraturan dan bidang kuasa yang telah mengikat universiti yang dominannya orang Melayu itu tidak akan mendorong cadangan itu dilaksanakan melainkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat arahan berkenaan.
Justeru mengapa pihak pentadbir UiTM melenting dan mengapa pelajar UiTM digerak dan dikerahkan untuk berdemonstrasi di hadapan pejabat menteri besar itu?
Saya kira ia hanya bermotifkan politik, untuk membina semula imej Umno/BN yang merudum ketika ini.
Saya melihat dasar UiTM tidak akan berubah selagi Umno/BN tidak berusaha merubahnya sekali gus merealisasikan cadangan menteri besar Selangor itu.
Apakah Kerajaan BN akan berusaha membuat perubahan baru untuk melihat kaum bukan bumiputera turut serta menimba ilmu di UiTM? Saya kira ia tidak mustahil memandangkan sebelum ini BN sering menghakis hak keistimewaan orang Melayu sedikit demi sedikit termasuk dalam hal bahasa pengantar Mata Pelajaran Matematik dan Sains (Bahasa Inggeris pengganti Bahasa Melayu).
Bagaimanapun saya berpendapat Tan Sri Abdul Khalid perlu melihat dari perspekif sejarah dan situasi politik hari ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. Beliau berhak membuat sebarang cadangan tetapi sepatutnya cadangan itu mestilah bersifat 'ekslusif' (tidak terbuka) dengan menggunakan media sehingga menimbulkan kemarahan segelintir orang Melayu di negara ini.
Cadangan itu mungkin boleh dibawa ke pengetahuan perdana menteri kerana kuasa di tangannya boleh menentukan sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya dengan mengenepikan soal perbezaan politik kepartaian buat sementara waktu bagi menaikkan semual imej universiti Malaysia di mata dunia.
Walaupun mungkin ia akan dipolitikkan tetapi kesannya tidaklah seteruk membuat kenyataan terbuka sebagaimana yang telah berlaku.
Jika ia dijadikan isu barulah beliau memberi komen sebagai melahirkan sikap terhadap kuota yang dimiliki universiti tersebut.
Bagi saya sebelum soal kuota bukan bumiputera dibincang dan difokuskan kepada UiTM, perlu dikaji apakah semua universiti seluruh negara masing-masing sudah tidak mementingkan entiti kaum lagi demi mencapai tahap pendidikan bertaraf global?
Jika ada universiti di negara ini masih mempertahankan entiti kaum tertentu 100 peratus, tidak perlulah bercakap tentang melonggarkan syarat kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM.
Kita perlu memberi ruang dan hak keadilan kaum dalam soal apa sahaja termasuk memiliki universiti sendiri supaya tidak timbul perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain.
Bagaimanapun tidak dinafikan perlu setiap universiti berusaha meningkatkan kualiti pendidikannya supaya ia dapat bersaing di peringkat global kerana sebelum ini telah terbukti tidak ada universiti dari Malaysia yang berada pada tanda aras memuaskan di peringkat global.
Yang ada kualiti universiti dari Malaysia berada di tangga bawah daripada bilangan 100. Jadi apa sudah jadi terhadap mutu keilmuan universiti negara ini?
Justeru, mungkin inilah yang mendorong Tan Sri Abdul Khalid membuat kenyataan tersebut baru-baru ini.
Untuk memberi keadilan kepada semua pihak, soal ini perlu diberi perhatian serius dan perlu diwujudkan mekanisme penambahbaikan mutu pendidikan di universiti supaya labelnya berdiri sama tinggi dengan universiti di peringkat antarabangsa di masa akan datang. - mns/tmj _
No comments
Post a Comment