'Islamic State' atau 'Kelantan State' berjaya di Kelantan - Dato Nik Aziz
IPOH, 17 Ogos (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak harus berasa ragu dengan konsep negara yang menerapkan Islam kerana ianya telah berjaya dijalankan di Kelantan.
Iklan | |
Ujarnya, hal tersebut telah berjaya dilaksanakan di negeri Kelantan sepanjang 18 tahun PAS memerintah negeri itu.
"Nak kata 'Islamic State' ke, Kelantan 'State' ke, Pakatan 'State' ke, katalah apa-apa, yang di Kelantan itu yang saya buat," tegasnya pada sidang media di muktamar Tahunan PAS kali ke-54 hari ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Besar kelantan menegaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan persekutuan agenda Islam masih tetap akan diteruskan dengan menjadikan Kelantan sebagai contoh atau panduan.
"Saya cadangkan kita tiru apa yang telah dibuat di Kelantan, jika ada yang tidak bersetuju dan sebagainya hal tersebut hendaklah diperbincangkan," ujarnya lagi pada sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke 54 yang telah diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Dalam mengulas isu sumpah kes liwat oleh Saiful Bukhari Azlan, beliau menjelaskan apa yang dilafazkan boleh diterima berdasarkan Islam namun ianya tidak kena dari segi perbuatannya.
"Mana ada kena bersumpah, kita kena pegang al-Quran? Itu amalan Kristian. Dan ianya tidak mesti dibuat di masjid, di rumah pun boleh," katanya lagi.
Dalam pada itu, menjawab soalan yang dikemukakan pemberita, beliau tidak gusar dengan kemungkinan terhakisnya pengaruh ulama dalam kepimpinan parti yang bakal menerajui era kemenangan tidak lama lagi.
Hari ini, sidang muktamar dijangka akan berakhir selepas tiga hari bersidang di Ipoh.-
No comments
Post a Comment