Kaedah Rahsia BN untuk merampas Permatang Pauh!

Permatang Pauh adalah kerusi tradisi milik Anwar dan keluarganya yang diwakili selama lebih suku abad, 25 tahun mulai 1982 sehingga 2008. Artikel ini akan membongkar kaedah keji di luar dugaan yang khabarnya sedang dipertimbangkan dengan teliti oleh BN untuk merampas Permatang Pauh.



Pengalaman Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh bermula pada 1982 apabila memenangi kawasan tersebut dan kekal menang sehingga 1999. Di sebalik kejayaan konsisten Anwar, Anwar dilihat menjadi ancaman kepada Mahathir dan ahli-ahli politik BN berikutan keengganan Anwar berkompromi untuk menyelamatkan (istilah lazim ialah ‘bail out”) syarikat-syarikat kroni yang tertekan oleh kegawatan ekonomi khususnya syarikat anak-anak Mahathir.

Justeru, Anwar dituduh sebagai seorang agen Zionis dan agen Amerika. Memandangkan tuduhan ini tidak cukup untuk menjatuhkan Anwar, Anwar juga dituduh sebagai seorang peliwat. Ini merupakan kali pertama politik Malaysia dicemari dengan tuduhan meliwat dan konspirasi ini kelihatan cukup terancang.

Berikutan konspirasi menjatuhkan kerjaya politik Anwar oleh Tun Mahathir dan sahabat-sahabatnya, Anwar ditangkap, dipukul, dibogelkan lalu didakwa di mahkamah. Anwar seterusnya dihukum penjara. Rakyat pada waktu ini cukup marah dan sebilangan besar rakyat memutuskan untuk menggulingkan kerajaan BN dengan cara kekerasan atau rusuhan seperti yang berlaku di negara-negara jiran. Anwar walau bagaimanapun membuat kenyataan kepada penyokong-penyokongnya agar jangan membuat rusuhan berdarah kerana tidak ingin melihat orang awam tercedera dalam proses menggulingkan BN. Justeru, penyokongnya membatalkan hasrat untuk merusuh, Anwar dipenjara dan hilang kerusi Permatang Pauh yang dipegangnya selama ini.

Dunia politik tidak dapat diramal. Mahathir akhirnya melepaskan jawatannya kepada Pak Lah apabila menyedari dirinya sudah tidak popular lagi. Menurut ceritanya, Mahathir melepaskan jawatannya berikutan provokasi seorang ahli UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun tersebut. Mahathir beberapa kali mengulang ayat bahawa dirinya telah gagal mengubah sikap orang Melayu. Ahli tersebut berkata, “Kalau dah gagal, letak la jawatan”. Mahathir dikatakan tersinggung lalu menangis-nangis menyatakan hendak melepaskan jawatan. Berikutan pujuk rayu Rafidah dan pimpinan UMNO, Mahathir setuju menangguh perletakan jawatannya seketika sebelum diserahkan kepada Pak Lah. Sikap Mahathir yang tidak boleh diprovok terserlah lagi apabila melepaskan keahlian UMNOnya berikutan cabaran seorang ahli Pas di dalam sebuah seminar. Diharap tiada sesiapa yang akan mencabar Mahathir membunuh diri kerana dirinya memang pantang dicabar.

Berbalik kepada Anwar. Anwar dilihat bukan ancaman kepada Pak Lah berikutan kemenangan besarnya dalam pilihanraya 2004. Pak lah berjanji tidak akan mencampuri urusan mahkamah berhubung kes Anwar maka Anwar pun dibebaskan hampir serta-merta selepas kemenangan besar Pak Lah.

Kerusi Permatang Pauh pula seterusnya diwakili isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pada mulanya hanya seorang suri rumah mulai dari tahun 1999. Terbuktilah tangan yang mengayun buaian juga boleh menggoncang dunia. Kerusi tersebut dipegang sehingga 31 Julai 2008 apabila Wan Azizah mengosongkannya untuk memberi laluan kepada Anwar. Kesediaan Wan Azizah melepaskan jawatan bukan satu isu. Wan Azizah tidak mencampuri urusan politik pun selama 16 tahun Anwar menjadi wakil rakyat.

Pada tahun 1982, Anwar yang yakin mampu membela Melayu dan Islam melalui wadah UMNO bertanding dibawah tiket BN lalu menewaskan calon PAS, Zabidi Ali (14,352 majoriti). Allahyarham Ustaz Fadzil Nor menasihati Anwar bahawa UMNO hanya akan mempergunakannya tetapi Anwar yakin bahawa Mahathir boleh dipercayai dan yakin dengan wadah UMNO. Allahyarham Ustaz Fadzil Nor menghormati pilihan Anwar ketika itu.

Pada tahun1986, Anwar menewaskan pula Mohamad Sabu (10,479 majoriti), tahun 1990 mengalahkan Mahfuz Omar (16,150) dan tahun 1995 menewaskan calon DAP, Abdul Rahman Manap dengan 23,515 majoriti. Anwar mendapat sokongan padu berikutan kesungguhannya membela rakyat dan Islam melalui pelbagai kaedah. Penubuhan UIA, Bank Islam, Takaful dan pelbagai projek berkaitan Islam lagi yang dihasilkan menerusi gandingan Anwar-Mahathir mendapat sokongan kuat rakyat khususnya yang beragama Islam.

Seterusnya, pada tahun 1999, Wan Azizah menang dengan majoriti 9077 menewaskan bekas Setiausaha Politik Anwar, Dato' Dr Ibrahim Saad, dikatakan kerana undi simpati terhadap Anwar. Pada 2004 kerusi Permatang Pauh dikekalkan dengan majoriti yang kecil (590 undi) dengan menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail. Pirdaus seterusnya membuat lagendanya yang tersendiri dengan menjadi ustaz pertama yang menyepak-nyepak kotak undi kerana kalah pilihanraya.

2008 menyaksikan Wan Azizah mengekalkan kerusinya dengan majoriti lebih besar iaitu 13,388.

Anwar pula meneruskan langkah politiknya dengan lebih bergaya apabila parti PKR pimpinannya menang besar dalam pilihanraya dan Anwar disebut-sebut akan menjadi PM yang seterusnya. Pak Lah juga memanggil Anwar, “PM-in-waiting”. Anwar membuat kenyataan bahawa ahli-ahli Parlimen BN akan bertukar ke Pakatan Rakyat sebelum 16 September 2008, insya-Allah. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam ceramah masing-masing menyatakan ahli-ahli Parlimen BN ingin menyertai Pakatan Rakyat selepas Anwar menjadi ahli Parlimen agar perlantikan PM baru boleh terus dibuat.

Sebahagian besar rakyat yang tertekan dengan isu kenaikan harga minyak juga menyokong Anwar dengan harapan Anwar akan memulihkan krisis ekonomi selaras dengan janjinya kepada rakyat dalam debat Anwar-Shabery bahawa harga minyak akan diturunkan. Hanya penyokong totok UMNO seperti antihusam dan blogger-blogger UMNO lain sahaja yang terus menentang kuat Anwar.

Bagi UMNO, Anwar tidak boleh dibenarkan menjadi ahli Parlimen. Seorang rakan penulis yang merupakan penyokong kuat UMNO memberitahu, desas-desus yang didengarnya ialah terdapat suatu kaedah rahsia yang akan digunapakai untuk memastikan Anwar kalah serta-merta kerusi Permatang Pauh. Kaedah yang boleh digunapakai ialah menangkap Anwar pada waktu penyerahan borang bertanding Permatang Pauh. Desas-desus bahawa Anwar akan ditangkap sudah lama kedengaran tetapi pihak berkuasa masih meneliti waktu yang paling bermanfaat bagi mereka untuk menangkap Anwar.

Menurut PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENJALANAN PILIHAN RAYA) 1981 (PENAMAAN) :

“6. (1) Pegawai pengurus hendaklah pada hari penamaan hadir di tempat penamaan dari pukul sepuluh pagi sehingga selesai urusan yang disebut dalam peraturan 10 atau subperaturan 11 (2), mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Tiga salinan tiap-tiap kertas penamaan mestilah diserahkan kepada pegawai pengurus-
(a) di tempat penamaan; dan

(b) antara pukul sembilan pagi dan pukul sepuluh pagi pada hari penamaan,

oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka.

(2A) Pegawai pengurus tidak boleh menerima kertas penamaan mana-mana calon

(a) yang tidak diserahkan dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (2)(b);

(b) yang tidak diserahkan kepadanya oleh mana-mana orang yang disebut dalam subperaturan (2)”.

Selain kaedah ini, terdapat kemungkinan Anwar akan di ISA sebagai menghalang beliau dari bertanding. Terdapat juga khabar bahawa sekiranya Anwar ditangkap atau di ISA kan, antara langkah tindak balas awal ialah diplomat-diplomat asing akan keluar dari Malaysia sebagai tnda protes dan ekonomi Malaysia akan terjejas teruk. Meskipun begitu, meminjam istilah kegemaran Nazri Aziz, ini semua spekulasi dan persepsi.

No comments

Powered by Blogger.